COVID-19: Penduduk Kampung Sebako di Lundu akan disaring bermula Ahad

Astro Awani
Februari 6, 2021 09:17 MYT
Dewan Masyarakat Kampung Sebako 2 akan digunakan untuk menjalankan ujian saringan dan akan beroperasi mengikut jadual saringan pihak kesihatan. FOTO: Astro AWANI
LUNDU: 624 penduduk di Kampung Sebako 1 dan 2 di Lundu, Sarawak akan menjalani ujian saringan COVID-19 secara berperingkat bermula Ahad.
Untuk tujuan itu, Dewan Masyarakat Kampung Sebako 2 akan digunakan dan akan beroperasi mengikut jadual saringan pihak kesihatan.
Menurut Residen Bahagian Kuching, Sherina Husaini, penduduk akan dihubungi secara berperingkat bagi memastikan keselamatan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Selain Dewan Masyarakat Kampung Sebako 2, kita akan menggunakan SK Sebako sebagai bilik pusat gerakan untuk anggota penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Selain itu bilik gerakan ini juga berfungsi sebagai pusat pengagihan makanan dan kita juga memiliki bilik gerakan utama di Pejabat Daerah Lundu,” katanya.
Pada Jumaat, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakkan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari dikuatkuasakan di Kampung Sebako 1 dan 2 bermula Sabtu.
Ia susulan peningkatan jumlah kes positif COVID-19 di kawasan tersebut.
BACA: COVID-19: PKPD di Kampung Sebako, Lundu, Sarawak catat 178 kes positif
Antara agensi yang akan terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Kampung Sebako 1 dan 2 terletak lebih 100 kilometer dari Kuching dan terdapat lebih sepuluh kampung dalam jarak satu kilometer dari kampung berkenaan antaranya Kampung Judin, Semapu dan Paun.
#PKPD di Lundu #PKPD Kampung Sebako #PKP di Sarawak #COVID-19 di Sarawak #kluster aktif di Sarawak #Kluster baharu di Sarawak