COVID-19: Pemulihan bekas pesakit juga perlu diberi perhatian - Prof Shamsul Amri
Israr Khalid
Jun 16, 2021 08:56 MYT
Jun 16, 2021 08:56 MYT
KUALA LUMPUR: Pemulihan COVID-19 bukan sekadar mencegah dan memvaksinasi setiap rakyat, bahkan mereka yang pernah dijangkiti dan telah sembuh juga perlu diambil kira perkembangan kesihatannya.
Perkara ini, menurut Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, sering kita terlepas pandang dalam perancangan ke arah memulihkan rakyat dan negara daripada pandemik ini.
"Pemulihan ini ada dua, yang umum dan yang khusus. Yang khusus itu adalah bagaimana untuk buatkan semua orang mendapat vaksinasi.
"Tetapi kita tahu yang pemulihan juga bermakna memperbaik. Jadi, aspek ini kita jarang sebut. Kerana, kita macam sudah puas hati, apabila seseorang itu sudah pulih bermakna dia okey. Bagi saya, tak okey lagi."
Ini kerana, seperti sedia maklum, kata Shamsul Amri, virus akan terus berada dalam badan bekas pesakit COVID-19 dan memberi kesan berpanjangan kepada kesihatan dan keupayaan fizikal, malah mental mereka.
Maka, ujarnya, ia harus diberi perhatian dan tindakan, di samping terus menambah baik usaha saringan dan vaksinasi yang pada pendapatnya, harus seiring dan seimbang antara kedua-duanya.
Proses merancakkannya bersama itu semestinya menuntut kos yang lebih, katanya.
Bagaimanapun, penyelesaian bijak harus dicari, tambahnya.
"Memang ada kos, tak ada yang percuma. Vaksin yang kita berikan percuma itu pun ada kos.
"Jadi, sekarang kita kena timbang, saya rasa kos untuk saringan ini harus ditampung sebahagian. Misalnya, setiap rakyat hanya bayar RM10. Kita buat perkiraan yang jelas.
"Kemudian, kita tengok siapa yang perlu bayar dan siapa yang layak diberi percuma, seperti golongan B40 contohnya.
"Kita ada data semua, bukan data sakit sahaja, data ekonomi pun ada," katanya.
Daripada data yang ada, kata Shamsul Amri, proses pelaksanaan ujian saringan boleh distrukturkan dengan harga yang berpatutan dan mampu dibayar.
Begitu juga mekanisme pembayarannya, serta segala yang berkaitan.
Untuk itu, beliau melihat pentingnya ia dikendalikan oleh setiap negeri dan dilaksanakan mengikut keadaan dan keperluan masing-masing.
Tonton sesi temu bual penuh Shamsul Amri dalam Agenda AWANi bersama hos, Nazri Kahar, di sini: