COVID-19: Pemuda buat roti 'Terima Kasih Hero' untuk petugas keselamatan
Adie Sufian Zulkefli
April 3, 2020 13:46 MYT
April 3, 2020 13:46 MYT
Kesungguhan dan semangat cintakan negara yang ditunjukkan pasukan barisan hadapan dalam mengawal keselamatan orang ramai semasa menangani wabak COVID-19 menyebabkan ramai yang tampil untuk menyumbang idea atau sekecil mana pun bantuan.
Bagi seorang pemuda di Kampung Tengah Sungai Yan, Kedah, beliau tergerak hati untuk memberi sumbangan dengan membuat sendiri roti.
Bukan biasa-biasa, tetapi roti itu turut diselitkan dengan kata-kata semangat buat pasukan petugas barisan hadapan.
Antaranya, kata-kata semangat '“Terima Kasih Hero Negara, anda barisan hadapan negara”.
Azrul Nizam Azali, 28 menyediakan kira-kira 200 bungkusan roti dan mengambil semua kata-kata semangat itu hasil kiriman rakan Facebooknya.
Tujuannya, beliau mahu seluruh rakyat Malaysia menghargai pengorbanan mereka yang sanggup berkorban menghadapi cabaran dalam menjalani tugas dalam menangani Covid-19 ini.
Walaupun tidak dapat memberi sesuatu yang berharga pada mereka namun pemberian sebungkus roti sudah cukup bermakna baginya.
Beliau membuat sendri roti ban kaya dan kacang itu lalu menulis kata-kata semangat itu Idea ini dilakukan sebelum mengagihkan roti terbabit kepada semua petugas barisan hadapan antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).
"Contoh macam you work for me, we stay at home, itu perkataan paling bermakna sebab dalam PKP ni tiada siapa boleh keluar kecuali dia ada apa apa urusan penting ja so dengan kata kata tu frontliners akan berasa terharu sebab kami duduk di rumah untuk memutuskan rantaian covid19 ini sedangkan mereka memang berkerja siang malam kerja untuk kita semua lah untuk hapuskan rantaian covid19 ni," katanya kepada Astro AWANI.
Dalam pada itu Azrul Nizam turut menyampaikan sumbangan peribadi roti khas kepada Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin kerana terharu dengan kesungguhan beliau menangani keadaan di bandaraya ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu sehingga fasa ke-2 ketika ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozin Jidin berkata, pemberian roti itu sangat bermakna untuk barisan hadapan yang bertugas ketika ini.
Selain itu beliau turut menghargai sumbangan dari orang perseorangan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang sanggup menghulurkan makanan dan minuman walaupun tidak diminta.
Katanya,ia merupakan kerjasama yang baik masyarakat untuk membantu barisan hadapan bagi menangani Covid-19.
"Ini kita tengoklah roti ditulis dengan kata-kata begitu bermakna memberi semangat kepada anggota anggota di bawah yang berhadapan dengan orang ramai mudah mudahan operasi ini akan cepat berakhir dan kita semua dilindungi daripada musibah wabak covid ini keseluruhannya," ujarnya.
#Alor Setar
#Angkatan Tentera Malaysia
#Astro
#Astro Awani
#COVID19
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
#Kedah
#koronavirus
#NGO
#PDRM
#Polis Diraja Malaysia
#rakyat Malaysia