COVID-19: Pemimpin politik perlu jadi contoh kepada rakyat, tunjuk teladan hapus pandemik

Harits Asyraf Hasnan
Mei 9, 2021 13:43 MYT
Mujibu berkata kekuatan semangat dan kebersamaan rakyat Malaysia perlu dikembalikan sebagaimana Malaysia berjaya menurunkan kes COVID-19 suatu ketika dahulu. - Foto fail / BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pandemik COVID-19 yang meruncing dalam negara ketika ini memerlukan kerjasama menyeluruh semua pemimpin politik.
Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abdul Muis berkata, pertikaian politik tidak akan memberi keuntungan kepada mana-mana pihak tatkala krisis kesihatan ini masih belum reda.
Tegasnya, pemimpin politik seharusnya menjadi contoh kepada rakyat, tanpa mewujudkan jurang sosial sekali gus bersama-sama mendepani pandemik itu.
"Apa yang paling penting adalah perlu untuk memberikan sokongan dan dokongan kepada mana-mana pihak, tak kiralah pembangkang ke, kerajaan ke, bagi memastikan adanya pematuhan.
"Untuk orang-orang politik, apa yang paling penting pada ketika ini adalah perlu menunjukkan contoh, teladan bahawa mereka adalah pemimpin bukan sahaja pemimpin dari sudut pentadbiran dan sebagainya, tapi juga menjadi pemimpin moral.
"Ia bagi memastikan ketaatan dan adanya contoh teladan yang memberi kita (rakyat) semacam semangat bahawa kita juga harus mematuhi perkara ini kerana itulah perkara sama yang mereka (pemimpin politik) lakukan," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.
Mengulas lanjut, Mujibu berkata, kekuatan semangat dan kebersamaan rakyat Malaysia perlu dikembalikan sebagaimana Malaysia berjaya menurunkan kes COVID-19 suatu ketika dahulu.
"Setakat ini, saya rasa semua orang boleh beri pandangan dan pendapat bahawa kita masih jauh daripada apa yang sepatutnya berlaku berkait COVID-19 ini.
"Saya setuju bahawa kita masih belum menang dan ya, kita masih lagi belum gagal, tetapi kita tidak boleh menuju kegagalan.
"Kerajaan ketika ini memang harus melakukan sesuatu yang lebih agresif, cepat dan pantas untuk mengeluarkan dari jurang kegagalan dalam menangani COVID-19 ini," katanya.
#COVID-19 #pandemik #politik #UiTM #pembangkang #kerajaan #jangkitan COVID-19 #Mujibu Abd Muis
;