COVID-19: Pemandu kereta sapu cetus Kluster Tumbalang di Ranau

Bernama
November 3, 2021 21:28 MYT
Masidi berkata, Kluster Sawit Jati di Kinabatangan merupakan satu lagi kluster COVID-19 direkodkan melibatkan 25 kes positif. - Foto Facebook/Universiti Malaysia Sabah
KOTA KINABALU: Seorang pemandu kereta sapu di Ranau menjadi kes indeks Kluster Tumbalang yang menyebabkan jangkitan 56 kes positif COVID-19.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun yang juga jurucakap COVID-19 negeri berkata lelaki berusia 37 tahun itu dikesan positif COVID-19 di Hospital Ranau pada 19 Okt lepas dan kes-kes jangkitan kluster komuniti itu dikesan dalam lokaliti sama.
"Pada Rabu, dua penduduk Kampung Tumbalang turut dikesan positif melalui saringan kontak rapat di Klinik Timbua menjadikan keseluruhan 56 kes dikesan (sehingga Rabu)," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata Kluster Sawit Jati di Kinabatangan merupakan satu lagi kluster COVID-19 direkodkan melibatkan 25 kes positif.
Katanya kes indeks kluster komuniti itu merupakan seorang lelaki warganegara Indonesia berusia 47 tahun yang bekerja di sebuah ladang kelapa sawit dan disahkan positif pada 21 Okt di sebuah klinik swasta di Kinabatangan.
"Persampelan kontak mendapati seramai 25 kontak sosial, pekerja dan tanggungan positif COVID-19. Siasatan, persampelan COVID-19 dan disinfeksi masih diteruskan di lapangan untuk menilai sebarang jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada pekerja ladang berdekatan," katanya.
Masidi berkata 675 kes positif COVID-19 direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 219,566 dan 436 pesakit sembuh menjadikan jumlah kumulatif sembuh 208,572 orang manakala 1,848 pesakit masih dirawat.
-- BERNAMA
#Sabah #kluster #COVID-19 #Masidi Manjun