COVID-19: Pemakaian dua pelitup muka digalakkan - Dr Noor Hisham

Hilmi Malik
Mei 22, 2021 12:44 MYT
Dr Noor Hisham berkata, pemakaian pelitup muka yang disaranakan pihak kesihatan mampu menapis lebih 95 peratus daripada virus. - Gambar hiasan/BERNAMA
PUTRAJAYA: Pemakaian dua pelitup muka bersama pelindung muka (face shield) adalah amat digalakkan di kawasan awam terutamanya bagi zon yang berisiko tinggi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagaimanapun penggunaan pelitup muka jenis fabrik adalah tidak digalakkan sama sekali.
“Kalau kita berada di kawasan yang berisiko tinggi amat digalakkan untuk pakai lebih dari satu lapisan (pelitup muka) dan juga pelindung muka (face shield).
“Kalau kita lihat COVID-19 tidak hanya merebak menerusi cecair malah ia turut merebak di ruang udara jadi pemakaian pelindung muka juga amat digalakkan di kawasan berisiko.
"Pakai pelitup muka melebihi satu lapisan tidak diwajibkan tetapi memakai pelitup muka itu wajib,” katanya dalam sidang media di Putrajaya pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham turut menyarankan orang ramai untuk menggunakan jenis pelitup muka yang disarankan pihak KKM seperti jenis N-95 yang dikatatakan mampu menapis virus lebih 95 peratus.
Mengambil contoh petugas kesihatan di hospital, Dr Noor Hisham memberitahu mereka digalakkan memakai pelitup muka melebihi satu lapisan bersama pelindung muka.
#pelitup muka #COVID-19 #Dr Noor Hisham Abdullah #pelindung muka #face shield