COVID-19: Pelajar wanita dari Malaysia antara kes bergejala import di Singapura
Bernama
Januari 19, 2021 04:00 MYT
Januari 19, 2021 04:00 MYT
SINGAPURA: Kementerian Kesihatan Singapura mengesahkan bahawa satu daripada lima kes bergejala import yang dilaporkan di republik berkenaan pada Selasa adalah melibatkan seorang pelajar wanita berumur 28 tahun dari Malaysia.
Dilabel sebagai kes 59422, pemegang pas pelajar itu tiba di Singapura dari negara asalnya, menurut kementerian berkenaan dalam data penuh yang dikeluarkan di sini.
Sehingga tengah hari Selasa, Singapura mencatatkan 26 kes import baharu, dengan 21 daripadanya adalah asimptomatik, manakala lima adalah bergejala.
Republik itu turut melaporkan empat kes baharu jangkitan tempatan COVID-19, dengan dua kes asimptomatik dan dua bergejala.
Keseluruhannya 30 kes baharu dilaporkan di sini Selasa, menjadikan jumlah jangkitan kini menjangkau 59,157.
Satu kluster baharu juga dikesan hari ini, yang dikaitkan dengan kes 59343 melibatkan seorang lelaki warga China berumur 33 tahun yang bekerja di Golden Bridge Foods Manufacturing Pte Ltd.
Dengan kluster baharu itu, jumlah kluster yang dikesan kini adalah lima.
-- BERNAMA
#pelajar malaysia
#Singapura
#Kementerian Kesihatan SIngapura
#COVID-19
#kes baharu
#pemegang pas pelajar
#Golden Bridge Foods Manufacturing