COVID-19: Pelajar Malaysia berusia 17 tahun antara 45 kes baharu di Singapura pada 3 Jun

Bernama
Jun 4, 2021 12:03 MYT
Pesakit penuntut Malaysia itu telah berada di Singapura sejak September 2020 untuk mengunjungi keluarganya. - Gambar hiasan REUTERS
SINGAPURA: Seorang rakyat Malaysia berusia 17 tahun adalah antara 45 kes baharu COVID-19 yang dilaporkan pada 3 Jun, menurut Kementerian Kesihatan republik itu.
Dirujuk sebagai Kes 64,000, pesakit penuntut Malaysia dan telah berada di Singapura sejak September 2020 untuk mengunjungi keluarganya di Singapura, menurut data lengkap kementerian dikeluarkan malam tadi.
"Dia mengalami demam dan batuk pada 29 Mei tetapi tidak mendapatkan rawatan, pelajar itu tergolong dalam kluster Kes 63,941," kata kementerian.
Kes pertama kluster ini melibatkan seorang wanita Vietnam berusia 36 tahun yang disahkan COVID-19 pada 1 Jun.
Memandangkan pelajar tersebut telah dikenal pasti sebagai kontak isi rumah dari tiga kes yang dilaporkan sebelum ini termasuk warga Vietnam, kini dia dikuarantin sejak 1 Jun.
"Pelajar berkenaan menjalani saringan COVID-19 pada hari yang sama. Hasil ujiannya kembali positif untuk jangkitan COVID-19 pada 2 Jun. Hasil ujian serologinya belum diketahui, "katanya.
Sementara itu, dua rakyat Malaysia yang lain juga antara kes baharu yang dilaporkan pada Khamis, seorang dikaitkan dengan kluster penghantar makanan McDonald; dan seorang lagi dikategorikan sebagai kes import.
Sehingga tengah hari Khamis, republik ini melaporkan sejumlah 62,145 kes COVID-19 dengan 44 kluster terbuka dan yang terbesar melibatkan Terminal 3 Lapangan Terbang Changi dengan 108 kes.
Buat masa ini terdapat 231 pesakit masih dirawat di hospital, dengan kebanyakannya stabil atau bertambah baik.
Bagaimanapun, dua dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi dan 11 memerlukan bantuan oksigen. - BERNAMA
#COVID-19 #Singapura #pelajar malaysia #Kementerian Kesihatan #jangkitan
;