COVID-19: Pelajar IPT harus fikir luar kotak, lebih fleksibel pilih pekerjaan - MEF
Saraya Mia
Jun 5, 2020 09:00 MYT
Jun 5, 2020 09:00 MYT
Pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) harus berfikir di luar kotak untuk berjaya di dunia pekerjaan yang lebih mencabar ketika pasca COVID-19.
Menurut Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan, generasi pelapis masyarakat ini seharusnya lebih fleksibel dalam memilih bidang pekerjaan yang akan diceburi.
“Sebagai contoh, kalau katakan seseorang itu mengambil bidang sains, tidak ada sebarang halangan untuk pelajar ini menjadi seorang pengusaha produk digital.
“Kita harus menerima apa jua cabaran yang datang dan mungkin membuat sesuatu yang kita tidak mimpikan langsung untuk membuatnya,” kata beliau dalam temu bual eksklusif bersama Rancak TV, pada Khamis.
Kata Shamsuddin, pengusahaan produk digital yang kini permintaannya tinggi boleh dijadikan pekerjaan untuk menjana pendapatan tambahan di samping pekerjaan tetap.
Dalam pada itu, beliau memahami cabaran yang dihadapi generasi muda untuk menjamin pekerjaan yang tetap, apa lagi pekerjaan secara normal sepertimana pra COVID-19.
Beliau terus menasihati agar anak muda tidak berputus asa dan melihat cabaran ini dari sudut yang lebih positif.
Penularan pandemik COVID-19 telah memberi impak dalam pelbagai sektor di negara ini, khususnya dalam sektor ekonomi dan pekerjaan, yang sekali gus meningkatkan kadar pengangguran.
Bilangan penganggur di Malaysia meningkat 17.1 peratus iaitu daripada 521,300 orang pada Mac tahun lalu kepada 610,500 orang pada Mac tahun ini.
#COVID-19
#ekonomi
#Institusi Pengajian Tinggi
#IPT
#koronavirus
#Malaysia
#MEF
#pandemik
#pelajar
#Sains