COVID-19: Pastikan SOP dipatuhi untuk jamin keselamatan murid - Pakar kesihatan
Raja Hisyam Raja Zaid
Januari 8, 2022 07:30 MYT
Januari 8, 2022 07:30 MYT
KUALA LUMPUR : Ibu bapa dan guru perlu mengambil berat dalam memastikan semua pelajar yang akan memulakan sesi persekolahan minggu depan berada dalam keadaan selamat.
Menurut Pakar Kesihatan Awam Datuk Dr Zainal Ariffin, dalam situasi pandemik COVID-19 yang sentiasa bermutasi kini, pematuhan SOP yang telah ditetapkan adalah amat penting.
“Apa yang penting adalah semua ibu bapa dan guru jangan mengambil ringan isu pematuhan SOP ini.
"Setiap sekolah juga perlu memastikan aliran udara dalam kelas itu berada pada tahap yang selamat dan jika perlu kurangkan penggunaan pendingin hawa.
“Jika didapati mana-mana pelajar ataupun guru yang mempunyai simptom seperti demam ataupun batuk, mereka ini tidak lagi wajar dibenarkan ke sekolah memandangkan varian terbaharu Omicron antara yang pantas berjangkit ketika ini,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.
Jelasnya lagi, SOP yang telah digarapkan oleh kerajaan ketika ini sebenarnya sudah memadai dan mampu mengurangkan kadar risiko jangkitan dalam kalangan pelajar sebaik memasuki sesi persekolahan.
Sekolah akan dibuka minggu hadapan dengan tiada penggiliran dan mungkin akan menempatkan lebih 40 pelajar bagi satu-satu kelas di sesetengah tempat.
Ia menimbulkan kerisauan dalam kalangan ibu bapa dengan ancaman terbaharu Omicron yang kini sudah dikesan dengan beberapa kes jangkitan di negara ini.