COVID-19: Pasar Chowrasta, Lebuh Cecil diarah tutup
Sinar Harian
September 14, 2021 06:30 MYT
September 14, 2021 06:30 MYT
GEORGE TOWN: Dua pasar di Pulau Pinang, Pasar Chowrasta dan Pasar Lebuh Cecil diarah tutup pada Selasa susulan beberapa peniaga dan pekerja di situ disahkan positif COVID-19.
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam satu kenyataan berkata, penutupan di Pasar Lebuh Cecil melibatkan 182 buah gerai di bahagian barang basah.
Menurut kenyataan itu, bagi Pasar Chowrasta pula ia melibatkan 157 gerai di dalam pasar, 56 gerai di medan selera dan 62 gerai sementara yang berada di luar pasar berkenaan.
"Terdapat lapan kes positif dikesan di Pasar Lebuh Cecil dan 14 kes di Pasar Chowrasta.
"Penutupan dua pasar tersebut berkuatkuasa serta-merta bagi membolehkan kerja sanitasi dan tindakan lain yang perlu dijalankan," kata kenyataan itu pada Selasa.
Tambah kenyataan itu, MBPP bersama Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) akan melakukan penilaian COVID-19 untuk kedua-dua pasar tersebut.
Kata kenyataan itu, ia penting untuk mengelakkan jangkitan COVID-19 kepada orang lain.
Penutupan dua pasar itu adalah yang terbaharu selepas Pasar Farlim di Air Itam diarahkan tutup ekoran 18 orang didapati dijangkiti COVID-19.
Sebelum ini, beberapa pasar awam di negeri ini diarahkan tutup selepas kes positif melibatkan peniaga dan pekerja pasar dikesan.
Antara pasar yang diarahkan tutup adalah Pasar Padang Tembak, Pasar Seberang Jaya, Pasar Awam Mak Mandin, Pasar Jalan Perak, Pasar Chai Leng Park dan Pasar Bukit Mertajam.
*Berita asal di Sinar Harian