COVID-19: Pasangan suami isteri terlibat kes penipuan sumbangan ditahan

Bernama
April 23, 2020 11:31 MYT
Pasangan itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Langkawi bagi mendapatkan perintah tahanan reman pada Khamis. Gambar hiasan.
Polis menahan sepasang suami isteri disyaki terlibat dalam kes penipuan kutipan sumbangan COVID-19 yang kononnya untuk disalurkan kepada penduduk Bukit Malut di sini, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata pasangan berasal dari Selangor itu telah membuat hantaran di Facebook pada Selasa memohon sumbangan kononnya untuk 100 penduduk di Bukit Malut yang memerlukan bantuan.
Beliau berkata polis kemudiannya menerima laporan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Langkawi mengenai tindakan pasangan suami isteri berusia 33 dan 27 tahun itu yang dikesan membuat kutipan tanpa melalui jabatan itu.
"Hasil laporan oleh JKM Langkawi, polis telah menahan pasangan suami isteri tersebut pada 1.13 tengah hari di Bukit Malut. Mereka juga mengaku telah menerima sumbangan namun belum menyampaikan sumbangan tersebut kepada penduduk di Bukit Malut dan Taman Nilam.
"Selain disyaki terlibat kes penipuan, pasangan itu juga didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila berada di Bukit Malut tanpa kebenaran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Iqbal berkata pasangan itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Langkawi bagi mendapatkan perintah tahanan reman pada Khamis.
Kes disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Perkara 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, katanya. - BERNAMA
#Bukit Malut #Jabatan Kebajikan Masyarakat #jkm #kutipan derma #Langkawi #penipuan #polis #suami isteri #sumbangan #tidak sah
;