COVID-19: Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bantu individu, PKS terjejas - Tengku Zafrul
Isabelle Leong
Mac 19, 2020 19:26 MYT
Mac 19, 2020 19:26 MYT
Kerajaan membantu individu dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE2020) bagi menghadapi impak negatif susulan penularan wabak COVID-19.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz menerusi satu kenyataan pada Khamis, berkata kerajaan sangat prihatin terhadap kesan negatif yang telah menjejaskan golongan tersebut.
Justeru, beliau berkata PRE2020 akan memastikan risiko ekonomi akibat COVID-19 dapat ditangani dengan efektif berdasarkan strategi yang digariskan.
Zafrul berkata kerajaan menyediakan beberapa tabung pembiayaan kewangan bagi individu dan syarikat PKS yang terkesan.
“Selain itu, Kementerian Kewangan juga sentiasa bekerjasama rapat dengan Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia bagi memastikan pasaran modal dan kewangan terus berfungsi secara telus dan teratur.
“Pelbagai langkah diambil untuk memastikan individu dan syarikat PKS yang terkesan diberi sokongan yang berpatutan.
“Selain peruntukan untuk membantu PKS mengekalkan operasi perniagaan, melindungi pekerjaan dan menggalakkan pelaburan domestik, bank-bank tempatan juga turut mengambil langkah-langkah untuk menyokong individu dan syarikat PKS yang terkesan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, pelbagai bantuan khas, kemudahan pinjaman, kemudahan penyusunan dan penjadualan semula serta moratorium selama enam bulan untuk perniagaan, PKS dan individu telah diperuntukkan.
“Kerajaan juga amat prihatin terhadap keadaan kesihatan rakyat Malaysia dan beberapa syarikat insurans dan pengendali takaful mengambil inisiatif bagi membantu meringankan beban kepada pemegang polisi mereka dengan memanjangkan faedah insurans bagi pencarum yang terkesan dengan COVID-19.
“Kerajaan mengambil maklum dan prihatin terhadap kesulitan yang dihadapi oleh semua pembayar cukai.
“Oleh itu, beberapa langkah telah diambil oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) bagi memastikan pembayar cukai dapat mengatur semula urusan percukaian dan seterusnya meringankan kesulitan yang dihadapi mereka,” tambahnya.
Kementeriannya dan agensi-agensi di bawah kementerian tersebut, katanya, akan terus bekerjasama dengan sektor kewangan dan pelaburan.
Ia adalah bagi mengkaji pelaksanaan PRE2020 dan langkah-langkah seterusnya bagi membantu serta menyokong perniagaan dan isi rumah mengikut keperluan semasa.
#Bank Negara Malaysia
#COVID-19
#impak negatif
#individu
#koronavirus
#Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia
#LHDNM
#Pakej Rangsangan Ekonomi 2020
#perusahaan kecil dan sederhana
#PKS
#PRE2020
#Zafrul Aziz