COVID-19: Pakar syor PKP sementara secara berstrata menurut kumpulan berisiko

Umavathi Ramayah
Februari 13, 2022 17:27 MYT
Dr Malina Osman menyatakan kebimbangan dengan sistem kesihatan yang tidak mampu mengawal nanti. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan disyorkan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sementara bagi mengekang ledakan jangkitan COVID-19.
Pakar Kesihatan Awam dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman berkata, sekiranya tidak dikawal kemungkinan besar negara akan menyaksikan peningkatan kemasukan ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU).
Menurutnya, sejak kebelakangan ini, kes positif COVID-19 yang membabitkan ibu mengandung, kanak-kanak dan warga emas semakin meningkat dengan penularan varian Omicron.
"Mestipun syor ini tidak begitu digemari, namun saya berpendapat kerajaan perlu melaksanakan PKP sementara bagi strata-strata berisiko ini dengan tujuan mengawal pintu masuk negara dalam memperlahankan ledakan ini.
"Kalau terlalu ramai yang masuk, saya tidak menolak akan berlaku juga peningkatan kemasukan ke hospital, dan saya bimbang akan berlaku satu keadaan di mana sistem kesihatan kita tidak mampu untuk mengawal nanti," katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Ahad.
Melihat pada pola jangkitan, Dr Malina menjangkakan kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 akan terus meningkat sehingga mencecah 250,000 kes dalam tempoh dua minggu.
Ditanya mengenai kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) di berapa negara luar termasuk pemansuhan pelitup muka dan sebagainya, beliau berkata, Malaysia tidak boleh terlalu mengikut model negara-negara luar kerana kapasiti dan sistem kesihatan setiap negara adalah berbeza.
#kesihatan awam #COVID-19 #golongan berisiko #perintah kawalan pergerakan
;