COVID-19: Pakai pelitup muka sekarang - Lee Lam Thye

Bernama
Julai 24, 2020 04:56 MYT
Lee berkata, pemakaian pelitup muka boleh dimulakan dari sekarang, tidak perlu menunggu sehingga 1 Ogos. - Gambar hiasan
Pandemik COVID-19 kembali mengancam adalah benar, seperti yang dapat dilihat di beberapa negara apabila ia kembali mengganas dan Malaysia tidak harus membiarkan ini berlaku kepada negara tercinta, kata Pengerusi Perikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye.
"Kewarganegaraan yang bertanggungjawab memerlukan pematuhan terhadap semua prosedur operasi standard (SOP) dan semua peraturan lain yang mengatur keselamatan dan kesihatan rakyat," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sebagai contoh pemakaian pelitup muka, tidak perlu menunggu sehingga 1 Ogos untuk mematuhi peraturan baharu itu.
"Kita boleh mula memakai pelitup muka sekarang. Masih ada tempoh satu minggu sebelum tarikh akhir dan diharapkan semua rakyat Malaysia akan menunjukkan sifat prihatin mereka dengan memakai pelitup muka dari sekarang dengan cara yang betul," katanya.
Lee merujuk kepada pengumuman Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu mengenai pemakaian pelitup muka di kawasan sesak atau tumpuan umum dan dalam pengangkutan awam akan diwajibkan mulai 1 Ogos.
Sambil menyambut baik peraturan baharu itu, beliau menggesa kerajaan agar menjelaskan kekaburan mengenai definisi tempat awam dan kawasan sesak.
"Definisi jelas dan pematuhan ketat pasti akan membuahkan hasil yang diharapkan, diinginkan dan disambut oleh semua orang dalam perjuangan kita menentang COVID-19," katanya.
-- BERNAMA
#COVID-19 #definisi #kawasan sesak #kekaburan #pelitup muka #pematuhan #peraturan baharu #SOP #Tan Sri Lee Lam Thye #tempat awam
;