COVID-19: Operasi sanitasi dijalankan di SK Putrajaya Presint 8 (1)
Astro Awani
Oktober 9, 2020 21:47 MYT
Oktober 9, 2020 21:47 MYT
KUALA LUMPUR: Perbadanan Putrajaya (PPj) bersama Pejabat Kesihatan Putrajaya melaksanakan kerja-kerja sanitasi di Sekolah Kebangsaan Presint 8 (1), Putrajaya pada petang Jumaat.
Operasi sanitasi itu bagi mencegah dan mengawal penularan wabak COVID-19 di Putrajaya.
"Ia juga merupakan inisiatif prihatin Kementerian Wilayah Persekutuan, PPj dan agensi terhadap pembendungan wabak COVID-19.
"Langkah itu selaras dengan teras “Cakna Keselamatan, Wilayah Persekutuan Wilayah Prihatin” bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan warga wilayah sentiasa diutamakan dan terpelihara," kata PPj dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.
Operasi tersebut melibatkan 15 anggota dari Pejabat Kesihatan WP Putrajaya dan PPj.
"Kerja-kerja disinfeksi dilaksanakan di seluruh kawasan sekolah merangkumi bilik darjah, loker, koridor, bilik guru, tandas, dataran, hand rail (pemegang tangga) di semua aras blok A, B dan C.
"Operasi sanitasi akan diteruskan lagi pada hari esok bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Putrajaya dan Alam Flora Sdn Bhd," ujar kenyataan itu lagi.
#operasi sanitasi
#Sekolah Kebangsaan Presint 8
#COVID-19
#Perbadanan Putrajaya
#PPj
#Pejabat Kesihatan Putrajaya
#Kementerian Wilayah Persekutuan