COVID-19: Omicron menggantikan sepenuhnya varian Delta di Sarawak

Nuzuluddin Abdul Razak
Februari 11, 2022 22:01 MYT
Dedah Dr Perera, hasil penjujukan genom, kes-kes Omicron ini dikenal pasti di Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu sementara beberapa kes import dikesan dari Selangor, Pahang serta Johor.
KUCHING: Varian Omicron menggantikan varian Delta secara keseluruhannya apabila jangkitan varian itu dilihat dominan di Sarawak, kata Dr David Perera.
Beliau yang merupakan Pengarah Institut Kemahiran dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mendedahkan, kesemua 77 sampel kes positif pada 20 Januari hingga 6 Februari lalu dan menjalani penjujukan genom adalah varian Omicron.
"Semua sampel dikenal pasti sebagai varian membimbangkan (VOC) Omicron sekali gus 100 peratus kadar pengesanan varian itu di Sarawak," katanya dalam laporan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Tambahnya, hasil penjujukan genom, kes-kes Omicron ini dikenal pasti di Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu sementara beberapa kes import dikesan dari Selangor, Pahang serta Johor.
"Hasil sampel-sampel Omicron berkenaan, 71 sampel dikenal pasti sebagai BA.1.1, tiga sampel BA.1, sementara tiga lagi sampel BA.2 yang mempunyai kadar jangkitan tinggi dikesan di Sibu, Miri dan Kuching,” katanya.
Merangkap ahli Kumpulan Penasihat COVID-19 Sarawak (SCOVAG), Dr. David Perera menasihatkan agar rakyat di negeri itu untuk segera mendapatkan dos penggalak.
Tegasnya, kajian telah membuktikan bahawa dos penggalak adalah perlu untuk meningkatkan paras neutralisasi antibodi melindungi daripada jangkitan serius Omicron dan dimasukkan ke hospital.
Hari ini Sarawak mencatatkan 214 kes yang dikesan di 17 daerah merangkumi 211 kes dalam kategori klinikal 1 dan 2 sementara dua kes kategori 3, serta satu kes kategori 5.
#varian omicron #Omicron dominan Sarawak #Dr David Perera #IHCM Unimas
;