COVID-19: Nyawa rakyat Sarawak lebih penting dari pilihan raya negeri

Nuzuluddin Abdul Razak
Mei 12, 2021 12:39 MYT
Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu dengan tegas menyifatkan nyawa rakyat adalah lebih penting dari pilihan raya.
KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kekal dengan pendiriannya sebagai pemimpin berjiwa rakyat untuk tidak mementingkan soal Pilihan Raya Negeri (PRN).
Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu dengan tegas menyifatkan nyawa rakyat adalah lebih penting dari pilihan raya.
Katanya kerajaan negeri sentiasa mengutamakan keselamatan rakyat dan akan mengenepikan dahulu soal pentadbiran penggal baharu Sarawak yang dijangka tamat Jun 2021.
“Setakat ini COVID-19 telah mengorbankan banyak nyawa di Sarawak. Harga setiap nyawa tidak dapat dinilai. Oleh itu Kerajaan GPS memberi keutamaan kepada usaha untuk memerangi COVID-19.
"Perkara-perkara lain seperti pilihan raya negeri boleh dikemudiankan sehingga keadaan mengizinkan,” jelasnya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri.
Sementara itu Abang Johari turut menekankan usaha kerajaan negeri untuk mendapatkan kebenaran Kerajaan Persekutuan untuk mewartakan hospital swasta sebagai pusat pemberian vaksin terutama di kawasan bandar.
Menurutnya, ia salah satu kaedah yang perlu dilaksanakan segera bagi mempercepatkan capaian sasaran imuniti kelompok menjelang Ogos depan.
“Kerajaan Negeri juga perlu mendapat kebenaran Kerajaan Persekutuan untuk mewartakan hospital-hospital swasta sebagai pusat pemberian vaksin untuk mempercepatkan proses imuninasi khususnya di kawasan bandar,” katanya.
Dalam pada itu, katanya usaha untuk mendapatkan bekalan vaksin yang mencukupi giat dijalankan termasuk membuat perolehan sendiri daripada pembekal.
“Ketika ini dalam suasana dunia mengalami peningkatan jangkitan secara mendadak sekali lagi, seperti di India, Sarawak memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha untuk mengekang jangkitan di samping melaksanakan program imunisasi bagi 2.08 juta rakyat kita yang layak.
“Saya menyeru agar semua rakyat Sarawak yang layak menerima vaksin untuk mendaftar bagi pemberian vaksin sama ada melalui aplikasi MySejahtera atau kaedah-kaedah lain di tempat masing-masing,” ujarnya lanjut.
Untuk rekod sehingga 10 Mei, seramai 1,121,200 orang penduduk Sarawak telah mendaftar untuk program vaksinasi di negeri itu dan daripada jumlah itu 69,064 orang telah menerima dos kedua vaksin.
#PRN Sarawak #Abang Johari Tun Openg #Ketua Menteri Sarawak #COVID-19 #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #vaksinasi
;