COVID-19: NSC Thailand cadang lanjutkan perintah darurat sebulan lagi
Bernama
Mei 21, 2020 21:23 MYT
Mei 21, 2020 21:23 MYT
Majlis Keselamatan Negara Thailand (NSC) hari ini mencadangkan untuk melanjutkan tempoh perintah darurat sehingga 30 Jun untuk mengekang pandemik COVID-19 secara berkesan di negara itu.
Ketika Thailand terus mencatatkan bilangan yang rendah bagi kes baharu COVID-19, Setiausaha Agung NSC Jen Somsak Rungsita berkata langkah itu perlu untuk menghalang gelombang kedua wabak berkenaan di Thailand yang merekodkan 3,307 kes COVID-19 dengan 56 kematian, sejak penularan wabak maut itu pada Januari.
Somsak yang mempengerusikan mesyuarat mengenai pelonggaran sekatan dan langkah-langkah COVID-19 berkata jawatankuasa itu mencadangkan untuk melanjutkan perintah darurat yang akan berakhir pada 31 Mei sehingga sebulan lagi.
"Situasi COVID-19 di Thailand telah bertambah baik bagaimanapun keadaan di seluruh dunia masih membimbangkan kerana bilangan kes yang disahkan terus meningkat.
"Untuk menghalang gelombang kedua penularan pandemik COVID-19, fasa ketiga dan keempat pelonggaran sekatan dan langkah-langkah pada Jun akan lebih baik membendung wabak itu," katanya pada sidang media di sini hari ini.