COVID-19: Normal baharu paling kritikal adalah ekonomi, bukan penjarakan sosial

Fauzi Suhaimi
April 19, 2020 14:49 MYT
Aspek normal baharu yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan adalah sektor ekonomi yang menjadi kebimbangan banyak pihak, kata Zainal Rashid Ahmad.
Aspek normal baharu yang perlu diberi perhatian khusus kerajaan bukan daripada aspek sosial, sebaliknya, sektor ekonomi yang menjadi kebimbangan banyak pihak.
Perunding Media, Zainal Rashid Ahmad berpendapat, sektor tersebut merupakan aspek penting merangkumi semua perkara meliputi peluang pekerjaan, kos sara hidup dan bebanan tanggungan isi rumah.
Menurut beliau, aspek tersebut mengambil kira bagaimana masyarakat boleh menyesuaikan diri dalam keadaan ekonomi tidak menentu selepas COVID-19.
"Isu utama sebaik sahaja COVID-19 dapat diselesaikan, apakah pekerja akan kembali dengan pekerjaan masing-masing atau sebaliknya.
"Sedangkan kajian Jabatan Perangkaan yang dikeluarkan minggu lalu mendapati 70,000 orang daripada 168,000 responden kini hilang pekerjaan dalam tempoh dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Saya fikir kalau kajian dilaksanakan sekarang kemungkinan kalau responden dibuat dalam kadar yang besar iaitu 500,000 orang, saya yakin dan tidak terkejut sekiranya 250,000 orang atau 50 peratus daripada jumlah itu hilang pekerjaan dalam tempoh COVID-19," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut, Zainal Rashid berkata, normal baharu yang paling utama selepas COVID-19 turut mengkehendaki ketersediaan masyarakat menghadapi cabaran kemelesetan ekonomi.
"Sekarang ini, orang akan hilang pekerjaan, kalau ada pekerjaan mungkin pemotongan gaji yang melampau akan dilakukan dan syarikat menghadapi masalah kritikal dalam aliran tunai akan menjejaskan pekerjanya seperti mendapat gaji yang lebih kecil atau berlaku kelewatan pembayaran gaji berbanding sebelum ini.
"Ini adalah normal baharu yang paling besar. Daripada data 2.4 juta pekerja, mungkin 60 peratus peratus daripadanya ialah ketua keluarga dan mempunyai tanggungjawab terhadap isi rumah.
"Jadi sekiranya normal baharu kita hanya melihat kepada perkara sosial seperti penjarakan sosial selepas COVID-19 apakah kita melalui gaya hidup sama dengan pendapatan yang tiada kesudahan," ujar beliau lagi.
#Astro #Astro Awani #ekonomi #hilang #isi rumah #keluarga #kerajaan #koronavirus #Media #normal baharu #pekerjaan #penjarakan sosial #rumah
;