COVID-19: Nilai R-naught negara naik 1.18, Labuan kekal tertinggi dengan 2.01
Astro Awani
Mei 22, 2021 05:44 MYT
Mei 22, 2021 05:44 MYT
KUALA LUMPUR: Kadar kebolehjangkitan R-naught COVID-19 di Malaysia sekali lagi mencatatkan peningkatan.
Ia naik 1.18 pada Sabtu berbanding 1.17 hari sebelumnya.
Kadar ini menghampiri nilai tertinggi yang pernah direkodkan iaitu 1.19.
Wilayah Persekutuan Labuan terus mencatatkan nilai R-naught tertinggi dengan 2.01.
Manakala negeri dan wilayah lain yang mencatatkan kadar kebolehjangkitan tinggi dan melebihi angka 1.0 ialah Terengganu, Kedah, Perak, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan.
Ini termasuk Johor, Putrajaya, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Sabah, Sarawak dan Perlis.
Tiada negeri atau wilayah yang merekodkan kadar kebolehjangkitan di bawah angka 1.0.
Setakat ini, kadar kebolehjangkitan terendah yang pernah direkodkan sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula 13 Januari ialah 0.81 pada 3 Mac lalu.
Manakala yang tertinggi pernah dicatatkan ialah 1.19 pada 17 April lalu.
Nilai R-naught merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.
#COVID-19
#R-Naught
#kadar kebolehjangkitan
#Labuan
#Negeri Sembilan
#Kuala Lumpur
#PKP
#perintah kawalan pergerakan
#kes positif