COVID-19: Najib cadang 'circuit breaker' di negeri catat peningkatan kes
Umavathi Ramayah
September 15, 2021 16:37 MYT
September 15, 2021 16:37 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mencadangkan kerajaan melaksanakan circuit breaker atau lockdown ketat dan singkat antara lima hingga tujuh hari di sesebuah negeri yang mencatatkan peningkatan kes COVID-19.
Katanya, ekonomi tidak akan dapat dipulihkan selagi negara tidak mampu mengawal COVID-19.
"Sekiranya kes meningkat semula sehingga kadar jumlah katil di ICU melebihi 85 peratus bagi mana-mana negeri, saya cadangkan sekatan pemutus litar, dengan izin circuit breaker atau lockdown paling ketat dan singkat selama antara lima hingga tujuh hari sahaja dengan jaminan ia tidak akan dilanjutkan.
"Jangan lagi dibuat lockdown berbulan-bulan lamanya... tetapi kita juga perlu terus mengawal keadaan COVID-19 di Malaysia dan kesihatan rakyat," katanya dalam perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, pada Rabu.
Ahli Parlimen Pekan itu memberitahu, pelaksanaan lockdown selama empat bulan empat hari sebelum ini yang bermula pada 12 Mei lalu adalah satu tempoh yang begitu panjang dan adalah sukar perniagaan boleh bertahan begitu lama.
Menurutnya, peluang untuk melaksanakan total lockdown yang amat ketat seperti semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lepas sudah berlalu, apabila ia disia-siakan oleh kerajaan dahulu yang membuat PKP 2.0 dan PKP 3.0 yang disifatkan separuh masak.
Beliau berkata, dengan kelonggaran dan pembukaan semula ekonomi baharu-baharu ini, kemungkinan keadaan COVID-19 akan bertambah parah.