COVID-19: NADMA sedia berdepan sebarang kemungkinan
Isabelle Leong
Disember 29, 2020 15:49 MYT
Disember 29, 2020 15:49 MYT
KUALA LUMPUR: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersedia dengan apa jua situasi dalam menangani penularan wabak COVID-19 di negara ini.
Pengarah Seksyen Pelaksanaan Operasi NADMA, Datuk Hussein Omar Khan berkata pihaknya juga bersedia untuk meningkatkan dan mengemas kini kemudahan sekiranya terdapat keperluan.
“Bagi tahun 2021, sama ada jumlah kes meningkat atau menurun, kami bersedia untuk sebarang situasi paling buruk.
“Kami bersedia dari segi SOP (prosedur operasi standard) dan sebagainya dan kami percaya KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) juga telah bersedia dengan peralatan dan kemudahan kesihatan,” kata Hussein dalam temu bual bersama Buletin AWANI pada Selasa.
Bagaimanapun, Hussein berkata, melihat kepada perkembangan COVID-19 di negara ini, pihaknya setakat ini tidak mempunyai perancangan untuk membuka Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di lokasi lain di sekitar Lembah Klang.
BACA: JEJAK COVID-19 DI SINI
“Melihat senario terkini, kemudahan sebanyak 10,000 katil di MAEPS sudah mencukupi.
“Saya tidak nampak ada keperluan untuk membuka lagi PKRC di lokasi lain di Lembah Klang melainkan keadaan sekarang berubah.
“Kami percaya kemudahan di sini cukup untuk menampung pesakit-pesakit COVID-19,” katanya.
Untuk rekod, PKRC MAEPS pertama kali diaktifkan dari 16 April hingga 15 Julai lalu dan telah merawat 1,362 pesakit, yang kebanyakannya bukan warganegara Malaysia.
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 9 Disember lalu, memaklumkan bahawa pusat itu diaktifkan semula berikutan peningkatan kes COVID-19 dalam kalangan pekerja asing.
Pada Isnin, KKM telah menambah jumlah katil di PKRC MAEPS di Serdang menjadi lebih daripada 6,000 disebabkan oleh peningkatan jumlah kes jangkitan COVID-19.
#COVID-19
#Agensi Pengurusan Bencana Negara
#NADMA
#PKRC
#Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah
#bukan warganegara
#PKRC MAEPS