COVID-19: MYDIN lancar tabung MYDIN Prihatin
Umavathi Ramayah
Mei 4, 2020 17:37 MYT
Mei 4, 2020 17:37 MYT
Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) hari ini melancarkan kempen pengumpulan dana kebajikan menerusi tabung MYDIN Prihatin untuk disumbangkan kepada mereka yang memerlukan termasuk individu yang terkesan ekoran wabak COVID-19.
Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Ameer Ali Mydin memberitahu, ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersempena dengan ulang tahun rangkaian pasa raya itu yang ke-63.
Katanya, antara lain dana akan turut disumbangkan kepada anak-anak yatim, rumah orang tua dan golongan asnaf yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bermula 13 April hingga 21 Jun ini.
Setakat ini katanya, sebanyak lima buah syarikat pembekal termasuk Antabax, Enrico’s, Certainty, Kiara dan Lady’s Choice bekerjasama menjayakan program itu.
"Ini bermakna setiap 10 sen hingga 50 sen hasil pembelian daripada produk terpilih daripada mana-mana jenama itu akan disalurkan ke tabung MYDIN Prihatin.
"Selain itu, 10 sen daripada setiap jumlah pembelian produk keluaran MYDIN di platform e- dagang Shopee akan turut disumbangkan ke tabung tersebut," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Menurut Ameer Ali, pada tahun lalu, MYDIN berjaya mengumpul dana sebanyak RM150,000 dan pada tahun ini pasar raya terkemuka itu menjangkakan jumlah itu akan meningkat kepada RM200,000.
Meskipun berdepan dengan situasi yang mencabar susulan jangkitan COVID-19, beliau berharap kempen ini akan mendapat sambutan.
"Semoga hasil kutipan dana tabung MYDIN Prihatin ini dapat meringankan beban golongan memerlukan dan mengukir senyuman di bibir mereka,” ujarnya.