COVID-19: Murid sekolah asrama penuh di zon merah perlu kekal di asrama

Astro Awani
Oktober 9, 2020 15:56 MYT
Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(1) diarahkan ditutup selama lapan hari bermula hari ini sehingga 16 Oktober. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Murid-murid sekolah berasrama penuh yang berada di zon merah perlu kekal berada di asrama, ujar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Pada masa sama, murid di asrama sekolah yang terletak di zon hijau tetapi rumah keluarga mereka di zon merah, juga perlu kekal tinggal di asrama.
"Pihak sekolah akan menguruskan keselamatan dan kebajikan murid-murid berkenaan di asrama. Dalam tempoh penutupan sekolah ini, pentadbir sekolah diarah memastikan guru-guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah," kata kenyataan itu.
Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my.
BACA: COVID-19: Semua sekolah di Sabah ditutup bermula 10 Oktober - KPM
Dalam pada itu, Sekolah Kebangsaan Presint 8 (1) Putrajaya dan Sekolah Kebangsaan Bangsar, Kuala Lumpur telah diarahkan tutup bermula 9 hingga 16 Oktober ini.
BACA: COVID-19: Operasi sanitasi dijalankan di SK Putrajaya Presint 8 (1)
Keputusan itu melibatkan 2,978 murid sekolah rendah dan 211 guru dan kakitangan.
Menurut kenyataan tersebut, penutupan berkenaan dibuat berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi mengawal penularan wabak COVID-19 dan membolehkan kerja-kerja pembersihan, disinfeksi dan pengesanan kontak rapat dijalankan.
"Memandangkan terdapat trend peningkatan kes, Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan COVID-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pagi ini telah mengambil keputusan bahawa mana-mana sekolah di seluruh negara yang mempunyai kes positif COVID-19 perlu ditutup oleh KPM untuk tempoh tujuh hari tanpa menunggu analisa risiko oleh KKM," kata kenyataan itu lagi.
Ia bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan, disinfeksi dan pengesanan kontak rapat dijalankan oleh KKM.
Tambah KPM, sekolah-sekolah yang mempunyai kes positif COVID-19 perlulah mematuhi garis panduan penutupan sekolah yang akan dikeluarkan oleh KPM.
#KKM #Kementerian Pendidikan #pengajaran dan pembelajaran #sekolah berasrama penuh #zon merah #KPM #COVID-19 #MKN #sekolah