COVID-19: MTUC Sarawak cadang kerajaan lihat penyelesaian fiskal luar biasa
Astro Awani
Disember 5, 2020 16:28 MYT
Disember 5, 2020 16:28 MYT
KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sarawak mencadangkan agar kerajaan melihat kepada penyelesaian fiskal yang di luar kebiasaan bagi membantu rakyat yang berdepan tekanan kewangan susulan pandemik COVID-19.
Setiausahanya Andrew Lo berkata selain menerusi pendekatan i-Sinar oleh KWSP untuk membantu golongan pekerja, kerajaan juga boleh memperuntukkan lebih banyak dana berkaitan ketika negara berdepan dengan wabak COVID-19 yang merupakan satu situasi yang luar biasa.
“Mereka (Kerajaan) harus memperuntukkan lebih banyak dana dan menerbitkan lebih banyak bon jangka masa panjang.
“Kerajaan juga harus tahu bahawa sebarang bantuan tunai yang diberikan kepada pekerja akan disalurkan kembali ke dalam ekonomi hampir 100 peratus, kerana ia akan dibelanjakan untuk bayaran pinjaman kereta dan barangan asas.
“Ia akan merangsang ekonomi selain membantu perniagaan menjana lebih keuntungan yang akhirnya akan ada lebih banyak kutipan cukai untuk kerajaan,” ujarnya ketika dihubungi Astro AWANI.
Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan program i-Sinar diperluaskan kepada lapan juta ahli berbanding dua juta ahli yang layak sebelum ini.
Susulan itu, KWSP mengumumkan dua kategori membabitkan lapan juta ahlinya yang layak memohon skim i-Sinar.
KWSP memaklumkan, Kategori 1 melibatkan mereka yang bekerja di sektor formal, yang bekerja sendiri, yang bekerja di dalam sektor ekonomi gig, sudah lama tidak mencarum, hilang pekerjaan, suri rumah atau yang diberi notis cuti tanpa gaji.
Bagi Kategori 2, ia untuk ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas (termasuk pengurangan gaji elaun, atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa) selepas Mac 2020.
#i-sinar
#MTUC Sarawak
#Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
#KWSP
#Andrew Lo
#COVID-19
#bon
#wang simpanan
#Zafrul Abdul Aziz