COVID-19: MOTAC cari pasaran baharu promosi pelancongan negara
Bernama
Februari 15, 2020 21:23 MYT
Februari 15, 2020 21:23 MYT
Berikutan kemerosotan ketibaan pelancong sejak penularan COVID-19 awal tahun ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) mengambil langkah proaktif mempergiat usaha mempromosi sektor pelancongan di negara ini dengan memfokus kepada beberapa pasaran baharu selain China.
Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Dr Noor Zari Hamat berkata selain pasaran domestik, negara Asia Barat dan Asia Tengah juga dikenal pasti berpotensi mempertingkat kadar kemasukan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.
"Dalam konteks ini, kita fokuskan negara di Asia Barat dan Asia Tengah serta India. India telah menunjukkan peningkatan (kemasukan pelancong) dengan baik pada 2018 hingga 2019, iaitu sebanyak 22 peratus, dan kita yakin ia akan menjadi tumpuan utama dalam masa terdekat.
"Selain itu, MOTAC bakal mengadakan beberapa program mempromosikan Malaysia di Berlin, Arab Saudi dan beberapa negara yang telah dikenal pasti dalam masa terdekat ini," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Jerayawara Sesi Dialog Jawatankuasa Tindakan Pemulihan Pelancongan (TRAC) bersama penggiat industri di negeri ini, yang merupakan sesi kedua selepas diadakan di Kota Kinabalu, Sabah pada minggu lalu.
Beliau berkata kementerian mendapat kerjasama yang baik daripada agensi pelancongan serta syarikat penerbangan khususnya untuk mempromosikan Malaysia di peringkat domestik dan antarabangsa.
Pada hujung Mac depan, katanya, satu acara besar-besaran akan dianjurkan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) yang menawarkan pelbagai tawaran istimewa untuk menggiatkan lagi industri pelancongan negara.
-- BERNAMA