COVID-19: Menjaga kebersihan pantai sebagai norma baharu kehidupan

Dr Izyan Munirah Mohd Zaideen
Jun 10, 2020 11:56 MYT
Pelaksanaan PKPP dilihat sebagai cabaran baru untuk mengekalkan kebersihan pantai seperti dalam tempoh PKP. --fotoBERNAMA/Hiasan
MALAYSIA adalah sebuah negara yang terkenal dengan tarikan alam semulajadi dan sering menjadi destinasi pilihan bagi pelancong tempatan dan juga asing.
Keindahan pantainya yang kaya dengan flora dan fauna telah mendapat tumpuan ramai terutamanya pada hari cuti.
Selain dikelilingi oleh lautan membiru yang kaya dengan hidupan marin, pantai di Malaysia juga dilengkapi dengan kemudahan rekreasi untuk menarik pelancong.
Namun kurangnya sikap prihatin pengguna pantai telah menyebabkan pencemaran berlaku.
Pencemaran di pantai bukanlah satu isu baharu kerana saban tahun berita mengenainya sentiasa dilaporkan.
Daripada pengalaman saya sendiri sewaktu berkunjung ke Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu, longgokan sampah sarap dibiarkan berselerak hingga merosakkan pandangan.
Keadaan ini adalah sesuatu yang mendukacitakan kerana ia dilakukan oleh pengguna pantai itu sendiri.
Seharusnya kesedaran sivik untuk tidak membuang sampah di merata tempat perlu ada dalam setiap diri pengguna pantai kerana ia adalah satu tanggungjawab sosial.
Sampah sarap yang tidak dikendalikan dengan baik ini dikhuatiri boleh menyebabkan ia masuk ke dalam laut dan seterusnya mengundang ancaman kepada hidupan di lautan.
Pada amnya, Malaysia sangat bergantung kepada laut sebagai sumber protein utama melalui sektor perikanan. Secara ringkasnya, pencemaran marin bukan saja membawa kesan kepada hidupan laut, malah juga menjejaskan kehidupan manusia.
Namun, semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula 18 Mac, semua aktiviti awam di pantai dihentikan, susulan daripada langkah kerajaan dalam membendung penularan pandemik COVID-19 yang melanda negara.
Pelaksanaan PKP ini seakan memberi rahmat kepada persekitaran marin kerana tiada lagi pencemaran oleh aktiviti manusia berlaku sepanjang tempoh itu.
Tiada lagi longgokan sampah baru yang ditemui di kawasan pantai dan ia seakan satu perkembangan positif kepada persekitaran marin.
Pada 7 Jun, kerajaan Malaysia melalui Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan hampir semua sektor ekonomi, kegiatan perniagaan dan sosial akan dibenarkan beroperasi penuh mulai 10 Jun di bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).
Selain kebenaran rentas negeri, aktiviti pelancongan domestik adalah di antara aktiviti sosial yang dibenarkan semasa PKPP. Pelancongan adalah antara sektor yang penting dalam ekonomi Negara dan kebenaran ini dijangka dapat memulihkan semula ekonomi negara.
Setelah hampir tiga bulan terikat dengan peraturan ketat semasa PKP dilaksanakan, berita ini disambut dengan perasaan gembira oleh rakyat Malaysia.
Sebilangan besar telah merancang percutian dan perjalanan ekoran tiada lagi sekatan rentas negeri bermula 10 Jun.
Hal ini terbukti dengan jumlah tempahan bilik yang mendadak seperti yang dilaporkan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir.
Ini menunjukkan aktiviti awam di kawasan pantai akan kembali normal seperti sebelum PKP.
Namun, pelaksanaan PKPP dilihat sebagai cabaran baru untuk mengekalkan kebersihan pantai seperti dalam tempoh PKP.
Oleh itu, SOP penggunaan pantai semasa fasa PKPP ini perlu mengambil kira norma baharu seperti yang digariskan iaitu menjaga kebersihan diri dan menjaga jarak fizikal secara berterusan.
Norma baharu dalam kehidupan harian ini perlu dipraktikkan secara lebih meluas bagi mengekalkan perubahan baik bukan sahaja pada diri dan masyarakat, malah terhadap kebersihan persekitaran pantai.
Pengguna dinasihatkan untuk mengambil perkara ini secara serius dengan membuang sampah di tempat yang telah disediakan.
Kemudahan tong sampah yang sudah disediakan, perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi mengekalkan keindahan pantai itu.
Jika ditanya mampukah perubahan dibuat, sudah pasti jawapannya mampu. Ini kerana semua rakyat Malaysia telah memberikan kerjasama yang baik dalam menunaikan tanggungjawab dengan mematuhi peraturan semasa PKP sehingga penularan pandemik COVID-19 dapat dikawal.
Semua rakyat Malaysia harus melihat pandemik COVID-19 ini dari sudut yang positif dan menjadikan nya sebagai satu ‘turning point’ dalam perubahan sikap supaya kesejahteraan kehidupan dapat dicapai pada masa depan.

* Dr Izyan Munirah Mohd Zaideen merupakan pensyarah kanan Fakulti Pengajian Maritim di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#COVID-19 #ekonomi #hidupan marin #kesedaran sivik #koronavirus #Kuala Terengganu #Langkawi #norma baharu #pandemik #Pantai #Pantai Batu Buruk #pelancong #pelancongan #pencemaran #percutian #perjalanan #PKP #PKPP #rakyat Malaysia #rekreasi #rentas negeri #sampah #SOP
;