COVID-19 meningkat: Petanda negatif kepada sektor pelancongan - Nancy

Abd Razak Mohd Ali
Oktober 1, 2020 18:59 MYT
Nancy (dua, kiri) melakukan lawatan kerja di Galeri Arkeologi Lembah Lenggong di Lenggong, pada Khamis. - Foto Astro AWANI
LENGGONG: Penularan semula wabak COVID-19 di seluruh negara memberi petanda tidak baik terhadap ekonomi negara, khususnya di sektor pelancongan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri meminta pemilik premis-premis pelancongan supaya meningkatkan kebersihan dan keselamatan premis masing-masing.
Dalam masa sama, kata beliau, mereka perlu memberi pendidikan kepada para pengunjung supaya sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP).
“Saya khuatir apabila kes-kes yang baru ini nampaknya sudah ada di seluruh negara, setiap negeri ada kes walaupun ada negeri sesikit sahaja kesnya tetapi itu sudah menakuti kita kerana ia menunjukkan satu indikasi yang tidak begitu sihat dalam kalangan kita.
“Maka sebab itu semua pihak perlu pastikan mengingati satu sama lain supaya SOP itu dipatuhi,” katanya.
Beliau ditemui selepas melakukan lawatan kerja di Galeri Arkeologi Lembah Lenggong di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan da Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.
Pada Rabu, statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan hampir semua negeri di seluruh negara mencatatkan sekurang-kurangnya satu kes baharu positif COVID-19.
Nancy berkata, dalam usaha kerajaan untuk mempromisikan pelancongan domestim ketika ini, pemilik premis mesti meyakinkan bahawa premis mereka benar-benar selamat untuk dikunjungi.
Mengenai lawatannya ke Galeri Arkeologi Lembah Lenggong, beliau memberitahu, ia antara lain ingin mahu melihat sendiri keadaan terkini galeri yang memiliki Perak Man itu.
“Insya Allah kita akan membangunkan bahagian-bahagian tertentu di sini supaya menjadi lebih moden dan akan menarik lebih ramai terutama golongan keluarga membawa anak-anak mereka ke sini,” ujarnya.
Di samping itu, katanya, ia juga bertujuan untuk menambahkan lagi produk-produk pelancongan domestik, termasuk galeri berkenaan, yang akan dipromosikan.
#Nancy Shukri #Kementerian Kesihatan #koronavirus #pelancongan #keselamatan #sektor pelancongan #ekonomi #KKM #SOP #Menteri Pelancongan Seni Budaya
;