COVID-19: Menara Sarawak Energy, Maybank Sibu ditutup

Rudi Affendi Khalik
Mac 16, 2020 11:40 MYT
Menara Sarawak Energy yang juga ibu pejabat syarikat berkenaan ditutup sementara bagi tujuan pembersihan - Gambar: Sarawak Energy
Semua kakitangan di Menara Sarawak Energy di sini diarahkan untuk tidak turun ke pejabat, dan bekerja dari rumah susulan seorang daripada pegawainya diuji positif COVID-19.
Dalam satu kenyataan hari ini, penutupan sementara pejabat tersebut bertujuan untuk membolehkan kerja-kerja pembersihan dan sanitasi dilakukan.
“Kakitangan kami telah disahkan positif pada Ahad dan kini sedang dirawat di Hospital Umum Sarawak,” kata kenyataan itu lagi.
Difahamkan kakitangan tersebut adalah bertugas di Bahagian Perolehan syarikat utiliti berkenaan.
Menara Sarawak Energy menempatkan lebih 1,600 kakitangan pada satu-satu masa.
Sementara itu, Maybank Cawangan Sibu turut mengumumkan penutupan premis tersebut selama dua hari bermula hari ini, juga untuk proses pembersihan dan sanitasi.
Ia susulan premis tersebut telah dikunjungi salah seorang pelanggan yang kemudian disahkan positif COVID-19.
#COVID-19 #Hospital #Kuching #Maybank #menara #positif #Sarawak #Sarawak Energy #Sibu
;