COVID-19: McDonald's Singapura gantung semua operasi sehingga 4 Mei

Bernama
April 19, 2020 11:28 MYT
Semua restoran McDonald's di Singapura ditutup mulai pukul 11 pagi Ahad. - Gambar fail
Restoran makanan segera, McDonald's Singapura, menghentikan semua operasinya termasuk khidmat penghantaran 'McDelivery' dan khidmat pandu lalu, 'Drive-Thru', mulai hari ini hingga 4 Mei ini.
Semua restoran McDonald's di sini akan ditutup mulai jam 11 pagi ini sementara khidmat 'Drive-Thru' pada jam 8 pagi dan pesanan terakhir Mc Delivery pada jam 10.30 pagi.
Pengarah Urusannya, Kenneth Chan, dalam kenyataan hari ini, berkata langkah tersebut diambil susulan nasihat Kementerian Kesihatan Singapura dalam usaha mencegah dan memerangi penularan wabak COVID-19.
"Bagi kami semua, ini adalah masa yang belum pernah terjadi sebelum ini. Kami telah mengambil semua langkah pencegahan dengan sebaik mungkin demi keselamatan pekerja dan pelanggan.
"Kami mengucapkan terima kasih kepada pelanggan atas sokongan mereka yang berterusan dan berharap dapat memberi layanan semula pada 5 Mei ini," katanya.
Sehingga semalam, Singapura telah mencatatkan jumlah keseluruhan 5,992 kes positif COVID-19. - BERNAMA
#COVID19 #drive-thru #henti operasi #McDelivery #Mcdonald's #restoran makanan segera #Singapura
;