COVID-19: MB Terengganu bimbang risiko pengunjung dari kawasan kes tinggi
Nur Fazlizai Ali
Mei 9, 2021 09:47 MYT
Mei 9, 2021 09:47 MYT
BESUT: Penduduk di Terengganu diingatkan agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang sambutan Aidilfitri minggu hadapan.
Peringatan itu disuarakan Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berikutan bilangan kes COVID-19 yang direkodkan.
Beliau turut menzahirkan kebimbangan susulan peningkatan aliran trafik yang masuk ke negeri itu sejak beberapa hari lalu.
“Sekiranya berlaku peningkatan trafik, tetamu yang datang menziarah pula dari kawasan yang mempunyai jumlah kes tinggi, memang sangat membimbangkan.
"Sampai ke satu peringkat, kes di negeri kita tinggi, hendak turunkan balik bukan mudah,” katanya.
Ahmad Samsuri berkata, dalam menyambut hari raya yang bakal menjelang minggu depan, masyarakat tidak harus leka hingga mengabaikan SOP ketika bertemu rakan dan sanak saudara.
Terdahulu, Polis Terengganu memaklumkan kadar kemasukan aliran trafik di negeri ini menunjukkan menunjukkan trend peningkatan sebanyak 25 peratus sejak beberapa hari lalu.
Kebanyakan kenderaan yang merentas negeri itu adalah dari Selangor, Kuala Lumpur, Pahang dan Kelantan.
Bagaimanapun, semalam, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, semua aktiviti rentas negeri dan daerah di seluruh negara, tanpa kebenaran polis, tidak dibenarkan mulai 10 Mei sehingga 6 Jun.