COVID-19: MB Perak potong gaji dua bulan
Aida Aziz
Mac 27, 2020 13:18 MYT
Mac 27, 2020 13:18 MYT
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memutuskan untuk memotong dua bulan gajinya untuk disalurkan kepada Tabung Bencana dan Bantuan Sosial Negeri Perak.
Katanya, ia selaras dengan keputusan Jemaah Menteri untuk memotong dua bulan gaji Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri untuk disalurkan ke Tabung COVID-19 di peringkat pusat.
"Saya telah memutuskan untuk memotong dua bulan gaji (Mac dan April) Menteri Besar untuk disalurkan kepada Tabung Bencana dan Bantuan Sosial Negeri Perak.
"Kerajaan Negeri turut mengalu-alukan semua inisiatif Kerajaan Persekutuan untuk meringankan beban rakyat dan langkah-langkah tambahan yang dijangka akan diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
"Kerajaan Negeri Perak juga akan terus mengkaji inisiatif bantuan khas tambahan bagi memastikan nasib golongan sasar mendapat pembelaan sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Faizal turut menzahirkan rasa sedih dan dukacita di atas korban pertama COVID-19 di negeri Perak, melibatkan seorang pesakit berusia 62 tahun dari Kajang, Selangor.
"Kita percaya pasukan perubatan di Hospital Raja Perempuan Bainun, Ipoh telah melakukan yang terbaik untuk merawat mangsa sejak dirujuk ke hospital itu pada 23 Mac 2020.
"Sementara pihak Kementerian Kesihatan Malaysia menjalankan siasatan ke atas kemungkinan kaitan mangsa dengan mana-mana kluster COVID-19, kita perlu merasa bimbang kerana dua daerah di negeri ini iaitu Hilir Perak dan Kinta telah diklasifikasikan sebagai kawasan Zon Merah," katanya.
Selain itu katanya, jumlah kes jangkitan positif di seluruh negeri Perak pula terus meningkat kepada 151 kes sehingga semalam, melibatkan hampir kesemua daerah di negeri ini, kecuali Kampar.
Ujarnya, kerajaan negeri turut mengalu-alukan badan-badan korporat dan pihak swasta untuk menyumbang kepada Tabung Bencana dan Bantuan Sosial Negeri Perak melalui akaun Bendahari Negeri Perak CIMB Islamic 8601170183.
"Kepada semua muslimin dan muslimat, marilah kita laksanakan solat hajat di rumah masing-masing selepas solat Zohor hari ini, bagi memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT.
"Semoga negara ini segera bebas daripada ancaman wabak COVID-19 serta dikurniakan kesembuhan buat semua pesakit dan para petugas barisan hadapan, khususnya kakitangan Hospital Teluk Intan yang disahkan positif jangkitan COVID-19," katanya.
#Ahmad Faizal Azumu
#COVID-19
#Hilir Perak
#jemaah menteri
#kabinet
#Kinta
#koronavirus
#potong gaji
#siasatan
#tabung
#zon merah