COVID-19: Masuk ke Sarawak dari Sabah perlu jalani ujian saringan

Syafik Shukri Jalil
September 18, 2020 19:33 MYT
Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata mereka juga perlu mengisi borang 'EnterSarawak' dalam talian dengan menyertakan dokumen sokongan yang diperlukan. - Gambar fail/BERNAMA
Berkuatkuasa mulai Isnin, 21 September 2020, semua warganegara Malaysia dan bukan warganegara yang ingin memasuki Sarawak dari atau melalui Sabah perlu membuat ujian saringan COVID-19 tiga hari sebelum memulakan perjalanan.
Malah, mereka juga perlu mengisi borang 'EnterSarawak' secara dalam talian dan disertakan dengan dokumen sokongan yang diperlukan.
Perkara itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menerusi sidang media harian COVID-19 di Kuching pada Jumaat.
Selain itu bagi warganegara Malaysia yang masuk ke Sarawak dari Pulau Pinang akan menjalani ujian saringan COVID-19 secara rawak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA).
“Sementara itu, bagi rakyat Sarawak yang pulang dari luar negara, mereka akan di kuarantin di First Point of Entry di Sarawak dan mereka tidak dibenarkan untuk transit ke destinasi terakhir.
“Manakala bagi rakyat Sarawak yang berulang alik ke Brunei dan Sabah atas urusan kerja, mereka perlu mengambil surat khas dari Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian masing-masing dan perlu menjalani ujian saringan setiap dua minggu dan mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan,” tambah Uggah.
Antara lain bagi pekerja sektor minyak dan gas yang telah berada di negeri itu selama 30 hari dan perlu ke pelantar minyak, mereka tidak perlu menjalani ujian saringan.
Bagaimanapun ujian saringan COVID-19 diwajibkan kepada pekerja sektor sama yang berasal dari luar negeri Sarawak.
Bagi pekerja asing sektor pembinaan, perladangan dan pelajar asing, mereka dibenarkan masuk ke Sarawak dengan syarat syarat memiliki permit kerja atau pengajian yang sah.
Mereka juga membuat permohonan kepada JPBNS dan isi EnterSarawak secara dalam talian, memastikan kos kuarantin selama 14 hari dan ujian saringan dibiayai oleh syarikat atau institusi pengajian terlibat dan syarikat atau institusi terlibat perlu menyediakan pengangkutan bagi membawa pekerja dari pintu masuk pusat kuarantin.
#COVID-19 #Douglas Uggah Embas #ENTERSARAWAK #Jawatankuasa Pengurusan Bencana #Kuching #Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching #Sabah #Sarawak #Timbalan Ketua Menteri I Sarawak #ujian COVID-19
;