COVID-19: Masih jauh perjalanan menuju fasa endemik - Nadiah Wan
Madiha Abdullah
Januari 14, 2022 10:00 MYT
Januari 14, 2022 10:00 MYT
KUALA LUMPUR: Selagi sejumlah besar penduduk dunia belum divaksinasi, perjalanan menuju ke fasa endemik COVID-19 masih jauh.
Pendapat itu diluahkan Ketua Pegawai Eksekutif Thomson Hospital Kota Damansara, Nadiah Wan yang melihat isu ekuiti vaksin merupakan perkara penting untuk ditangani, selain menurunkan angka jangkitan kepada paras stabil yang membolehkan sistem kesihatan bernafas.
"Apa yang dihadapi sekarang bukan endemik kerana ada lonjakan jumlah kes yang sangat akut pada masa yang sama, lebih ramai jatuh sakit terutamanya yang tidak diberi vaksin atau mendapat suntikan penggalak dan kanak-kanak.
"Untuk mengatakan bahawa kita mencapai endemik, belum lagi, kita perlu menangani isu ekuiti vaksin dan menurunkan jangkitan kepada angka stabil supaya keseluruhan sistem kesihatan dapat menguruskan.
"Amerika Syarikat mempunyai lonjakan jangkitan yang besar, Denmark dan UK mengalami fenomena yang kita panggil decoupling, kes yang tinggi tetapi kematian adalah rendah," katanya dalam sesi MIDF Conversations yang diadakan secara maya, pada Khamis.
Ujarnya, dalam tempoh yang panjang, pemakaian pelitup muka akan menjadi perkara biasa, syarikat dan organisasi pula harus memainkan peranan dalam memastikan pengudaraan yang baik dalam memastikan tempat kerja atau mana-mana tempat awam selamat.
Situasi di Malaysia, tegas Nadiah, tidak boleh disamakan dengan mana-mana negara lain seperti United Kingdom, di mana kehidupan seakan-akan kembali normal.
"Pra-COVID-19, sistem kesihatan kita sudah berada dalam kedudukan yang mencemaskan, COVID-19 datang macam kayu balak yang merobohkannya.
"Ini isu berdekad, kurangnya pelaburan dalam kesihatan awam, isu lama dengan kumpulan dan bekalan tenaga kerja penjagaan kesihatan dan ia sesuatu yang tidak dapat kita tangani," tegasnya.
Beliau bagaimanapun melihat Malaysia tahun ini akan berbeza dengan tahun lalu, yang menyaksikan sistem kesihatan di Lembah Klang lumpuh kerana COVID-19.
"Tahun lepas pada bulan Julai, sistem penjagaan kesihatan lumpuh di Lembah Klang, ramai belum divaksin, banyak kematian, orang ramai terbaring di luar jabatan kecemasan, ia kelihatan seperti zon perang dan ia sememangnya zon perang.
"Ia memang melemahkan semangat kita sebagai tenaga kerja dalam penjagaan kesihatan.
"Kini kita mempunyai kadar vaksinasi yang tinggi, kita berharap kadar pemberian dos akan ditingkatkan.
"Saya rasa kita telah membuat penambahbaikan dalam hal berkaitan kesihatan awam, terutamanya pengesanan kontak dan pelaporan kes, malah kapasiti ujian juga meningkat," katanya lagi.
Dalam masa yang sama, Nadiah berkata sistem kesihatan negara masih mempunyai kekangan kerana tidak mempunyai doktor dan jururawat yang mencukupi.
"Saya fikir kerajaan mengambil lebih banyak pendekatan berhati-hati, tetapi kita tahu Menteri Kesihatan sendiri telah mengumumkan bahawa kita tidak akan kembali melaksanakan lockdown," ujarnya.