COVID-19: Malaysia sekali lagi catat rekod harian tertinggi, melebihi 32,000 kes baharu

Astro Awani
Februari 25, 2022 10:50 MYT
327 individu ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), dengan 201 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: 32,070 kes baharu COVID-19 dicatatkan pada 24 Februari, dengan 99.44 peratus daripadanya adalah pesakit COVID-19 kategori 1 dan 2 iaitu tidak mempunyai gejala dan bergejala ringan.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, 180 kes atau 0.56 peratus adalah kategori 3, 4 dan 5.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 dalam negara adalah 3,337,227 kes.
Daripada jumlah itu, 83 kes berumur 60 tahun dan ke atas, 89 kes mempunyai komorbid dan satu kes ibu mengandung.
Manakala 459 kes tidak atau belum lengkap divaksinasi, 93 kes telah menerima dua dos vaksin covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 38 kes telah menerima dos penggalak.
Semalam, 23,332 kes sembuh turut direkodkan.
327 individu ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), dengan 201 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.
16 lagi kluster baharu turut dilaporkan, dengan 510 kluster masih aktif.
#COVID-19 #dos penggalak #Dr Noor Hisham Abdullah #kes positif
;