COVID-19: Malaysia perlu lebih terperinci dengan analisis data - Dr Jemilah

Bernama
Februari 4, 2021 22:19 MYT
Dr Jemilah juga berkata Malaysia kini lebih bersedia menguruskan pesakit COVID-19, sambil menambah kadar kematian semasa di negara ini akibat pandemik itu adalah kira-kira 0.4 peratus, yang merupakan antara yang terendah di dunia. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu lebih terperinci dalam analisis data untuk memahami dengan lebih baik kaedah menangani pandemik COVID-19, demikian menurut Penasihat Hal Ehwal Kesihatan Awam Perdana Menteri Tan Sri Dr Jemilah Mahmood.
Memandangkan wabak COVID-19 melanda negara selama lebih setahun, katanya, industri kesihatan kini telah menggunakan Kecederasan Buatan dan Pembelajaran Mesin.
"Kami kini memberikan pasukan saintis data menyertai dalam Kementerian Kesihatan untuk melihat semula, belajar semula dan mengkaji semula beberapa usaha yang kita sedang lakukan," katanya pada Persidangan 'Malaysia Outlook Conference 2021' bertajuk Masyarakat Selepas COVID-19: Apa Yang Akan Berubah dan Apa yang Telah Kita Pelajari' anjuran Institut Demokrasi dan Hak Ehwal Ekonomi (IDEAS) hari ini.
Dr Jemilah juga berkata Malaysia kini lebih bersedia menguruskan pesakit COVID-19, sambil menambah kadar kematian semasa di negara ini akibat pandemik itu adalah kira-kira 0.4 peratus, yang merupakan antara yang terendah di dunia.
"Ini (kadar kematian) benar-benar dikagumi. Kita perlu memberi pujian kepada pakar penyakit berjangkit sama ada di universiti atau sektor awam yang arif tentang kaedah pengurusan pesakit dengan baik," katanya.
Sementara itu, memetik Singapura sebagai contoh dalam membendung penularan virus dengan berkesan, Dr Jemilah berkata Malaysia sedar keadaan tahap kesihatan pekerja asing di negara ini perlu dijaga dan diberi perhatian.
Mengabaikan isu kesihatan pekerja asing akan hanya meletakkan rakyat Malaysia berisiko kerana mereka tinggal dalam komuniti, katanya.
"Singapura belajar dengan pantas untuk membendung penularan wabak ini tetapi ia tidak memberi alasan kepada kita untuk tidak melakukan yang lebih baik.
"Ini adalah pengajaran besar yang kita ambil dan sekarang terdapat langkah-langkah ketat dikuatkuasakan. Ia adalah tentang mewujudkan pemahaman dan kesedaran oleh industri bahawa mereka perlu menjaga kebajikan pekerja demi kepentingan dan keuntungan syarikat," katanya.
-- BERNAMA
#analisis data #COVID-19 #Malaysia #Dr Jemilah Mahmood #Kecederasan Buatan dan Pembelajaran Mesin #Kementerian Kesihatan #KKM
;