COVID-19: Malaysia masih selamat untuk dikunjungi - TPM
Bernama
Februari 15, 2020 05:23 MYT
Februari 15, 2020 05:23 MYT
Rakyat diseru untuk bersama-sama memberikan mesej yang positif, bahawa Malaysia masih selamat untuk dikunjungi, walaupun negara kini berdepan dengan penularan COVID-19.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, permulaan tahun ini agak mencabar khususnya untuk sektor pelancongan dan kerajaan sedang merangka pelbagai strategi bagi membantu industri itu, berhadapan masalah berkenaan.
"Sehingga hari ini, kerajaan persekutuan masih melaksanakan penganjuran acara atau program serta aktiviti, yang melibatkan orang ramai.
"Namun kita perlu sentiasa berwaspada, dengan mengambil langkah perlindungan diri serta kesiapsiagaan, seperti saranan Kementerian Kesihatan dalam menangani penularan tersebut," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Tahun Baharu Cina 2020, di Padang Kota Lama, di sini malam tadi.
Pada masa yang sama, beliau turut menasihati rakyat untuk tidak menyebarkan dan mempercayai berita tidak benar atau maklumat palsu di media sosial, kerana ia hanya menimbulkan kesan buruk seperti perasaan panik serta pergaduhan.
Sebaliknya masyarakat digalakkan sentiasa merujuk portal 'sebenarnya.my' bagi mendapatkan maklumat terkini yang sahih, daripada sumber rasmi kerajaan.
Katanya dalam usaha menangani persepsi negatif terhadap penularan COVID-19, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Pemulihan Pelancongan, bagi merangka strategi pemulihan industri pelancongan negara, yang terkesan dengan keadaan itu.
Selain itu MOTAC turut merangka strategi jangka masa pendek untuk pasaran jarak dekat negara-negara ASEAN, sebagai kempen alternatif untuk pemulihan industri pelancongan negara.
Dr Wan Azizah pada masa yang sama turut mengajak rakyat Malaysia, untuk meluangkan masa bercuti dalam negara bagi menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2020, dan terdapat lebih 200 acara dalam kalendar pelancongan yang dianjurkan oleh kerajaan persekutuan dan negeri, mahupun pihak swasta.
"Dalam menyemarakkan kempen Visit Malaysia 2020 bagi pasaran antarabangsa, kita sebagai tuan rumah hendaklah menyambut kehadiran pelancong dengan ikhlas dan ramah mesra. Kita juga seharusnya mempamerkan tradisi budaya rakyat di negara ini, yang masih menjunjung tinggi nilai ketimuran, seperti sopan santun, jujur, amanah, hormat menghormati dan berbudi bahasa.
"Saya juga berharap penggiat industri pelancongan, dapat mengutamakan aspek keselamatan dengan meningkatkan kualiti perkhidmatan dan memastikan penyediaan fasiliti yang mencukupi, agar pelancong yang berkunjung ke negara ini sentiasa berasa selesa dan selamat," katanya.
-- BERNAMA
#berita tidak benar
#coronavirus
#COVID-19
#koronavirus
#Malaysia selamat
#mesej positif
#pelancongan
#penularan
#pergaduhan
#perlindungan diri
#Visit Malaysia 2020
#Wan Azizah Wan Ismail