COVID-19: Malaysia lebih 'selesa' jika 60 hingga 70 peratus berjaya divaksin tahun ini - Pakar

Rahimah Abdullah
Februari 16, 2021 13:58 MYT
Malaysia mungkin lebih selesa menghadapi pandemik COVID-19 pada 2022 jika 60 hingga 70 peratus penduduk menerima vaksin tahun ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Malaysia bermungkinan akan lebih bersedia menghadapi pandemik COVID-19 pada 2022 sekiranya 60 hingga 70 peratus rakyat di negara ini menerima vaksin tahun ini.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, peratusan berkenaan melibatkan petugas barisan hadapan, mereka yang berisiko dan kumpulan-kumpulan sasar yang dianggap penting.
"Sebab capaian kita 30 juta lebih termasuk warga asing. Kalau kita dapat capai 60 hingga 70 peratus yang melibatkan petugas barisan hadapan, golongan yang berisiko dan kumpulan-kumpulan yang penting seperti guru.
"Jadi saya rasa kita akan lalui keadaan yang ringan sedikit pada tahun depan. Kalau kita capai 60 hingga 70 peratus tahun ini, tahun depan kita amat selesa," katanya kepada Astro AWANI melalui Skype pada Selasa.
BACA: Ikuti perkembangan berita terkini vaksin COVID-19. Klik di sini.
BACA: Vaksin COVID-19 tiba Ahad ini, PM terima suntikan 26 Feb
Selain itu, berdasarkan maklumat yang diterimanya, kerajaan sudah bersedia dari aspek jumlah penyimpanan dan logistik vaksin Pfizer-BioNtech.
"Bukan sahaja dengan peralatan cukup, tetapi kerajaan juga mempunyai sokongan simpanan untuk kawasan-kawasan yang berjauhan daripada pusat penyimpanan vaksin," ujarnya.
Selain itu katanya, vaksin suatu yang penting bagi melindungi individu itu sendiri daripada virus COVID-19.
"Apabila telah ramai, katalah, 80 hingga 90 peratus telah mendapat vaksin, maka beban kita akan penyakit itu akan berkurangan. Jadi pada saya, buat masa ini, peringkat sukarelawan itu adalah penting.
"Kalau kita terus mandatori (vaksin), rakyat akan jadi rasa susah, sukar dan sebagainya. Saya rasa kerajaan, NGO dan masyarakat sendiri mesti berperanan penting dalam memastikan setiap ahli keluarga kita yang layak mendapat suntikan vaksin ini," katanya lagi.
Bekalan vaksin COVID-19 daripada syarikat Pfizer-BioNTech akan tiba di Malaysia pada 21 Februari ini.
Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Majlis Pelancaran Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan secara maya di Pejabat Perdana Menteri di ibu negara, hari ini.
#Astro #Astro Awani #vaksin #Pfizer #COVID-19 #Malaysia #Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia #Dr Zainal Ariffin Omar b
;