COVID-19: Malaysia dijangka berdepan gelombang keempat susulan PRN Melaka, kerajaan bersiap sedia
Astro Awani
November 23, 2021 14:58 MYT
November 23, 2021 14:58 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersiap sedia untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan sekiranya berlaku gelombang keempat jangkitan COVID-19 dalam negara susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, pada Sabtu lalu.
Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, kesan jangkitan COVID-19 itu hanya dapat dilihat sekitar 10 ke 14 hari akan datang.
"Kita memantau keadaan ini. Kerajaan tahu dan bersedia untuk berdepan dengan kemungkinan gelombang keempat akan berlaku di negara kita, ini kita amat khuatir.
“Kita menjangkakan kesan jangkitan ini akan dapat (dilihat) dalam tempoh 10 ke 14 hari lagi," katanya di Dewan Rakyat di sini, pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) mengenai kesan penularan COVID-19 susulan PRN Melaka.
Mengulas lanjut, mengambil pengajaran daripada PRN Sabah tahun lalu, Aaron menjelaskan, kerajaan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang amat ketat bagi PRN Melaka dengan tidak membenarkan kempen besar-besaran diadakan.
"Kita juga akan menggunakan SOP yang hampir sama pada PRN Sarawak kelak dalam mengekang penularan COVID-19," ujarnya.