COVID-19: Malaysia catat purata tertinggi bekerja dari rumah - Ipsos

Isabelle Leong
Januari 21, 2021 16:58 MYT
Biarpun sudah meluangkan lebih sembilan bulan bekerja dari rumah, dua pertiga rakyat Malaysia masih berdepan cabaran untuk menyeimbangkan kehidupan harian dan kerja. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan kadar purata tertinggi bagi aktiviti bekerja dari rumah berbanding purata global ketika pandemik COVID-19 berlaku.
Menurut tinjauan firma penyelidikan pasaran dan perundingan antarabangsa, Ipsos, Malaysia merekodkan kadar 65 peratus berbanding purata 52 peratus direkodkan 27 negara yang lain.
Berhubung pengambilan cuti ketika wabak tersebut, Malaysia turut mencatat angka lebih tinggi iaitu 32 peratus berbanding 30 peratus di peringkat global.
Begitu juga dari segi pengurangan waktu bekerja, Malaysia merekodkan 41 peratus iaitu lebih tinggi daripada purata global iaitu 32 peratus.
Hasil tinjauan mengenai isu penambahan waktu bekerja juga mendapati Malaysia mengatasi dengan 38 peratus berbanding 32 peratus di peringkat global.
Cabaran bekerja dari rumah
Dalam perkembangan yang sama, biarpun sudah meluangkan lebih sembilan bulan bekerja dari rumah, dua pertiga daripada rakyat Malaysia masih berdepan cabaran untuk menyeimbangkan kehidupan harian dan kerja.
BACA: COVID-19: Tahap keresahan, tekanan rakyat Malaysia paling tinggi - Ipsos
Data tinjauan ‘Impak Pandemik Terhadap Tenaga Kerja Rakyat Malaysia’ menunjukkan 63 peratus rakyat Malaysia sukar menyeimbangkan antara kehidupan harian dan pekerjaan.
Dalam pada itu, lebih ramai rakyat Malaysia berdepan kesukaran untuk bekerja dari rumah disebabkan peralatan atau kemudahan bekerja yang tidak mencukupi berbanding warga global iaitu 62 peratus berbanding 46 peratus di peringkat global.
Ramai rakyat Malaysia juga didapati berasa lebih sunyi dan terasing akibat amalan bekerja dari rumah dengan mencatatkan 57 peratus berbanding 49 peratus di 27 negara yang lain.
Kajian tersebut dilakukan terhadap 12,823 responden yang terdiri daripada pekerja yang berumur antara 16 hingga 74 tahun di 28 negara.
#COVID-19 #Malaysia #pandemik #Bekerja Dari Rumah #Ipsos #kenyan pandemik #Global
;