COVID-19: Malaysia, Brunei kerjasama bawa pulang rakyat terkandas di luar negara
Astro Awani
Mac 29, 2020 16:21 MYT
Mac 29, 2020 16:21 MYT
Malaysia dan Brunei Darussalam bekerjasama membawa rakyat kedua-dua negara itu yang terkandas pulang ke negara masing-masing, kata Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamaruddin Jaffar.
Kamaruddin berkata, seramai 84 rakyat Malaysia yang terkandas di Mesir telah pun dibawa pulang menaiki pesawat sewaan khas kerajaan Brunei.
Menurut beliau, pesawat tersebut berlepas dari Kaherah dan tiba di Bandar Seri Begawan pada jam 9.08 pagi Ahad bersama warganegara Brunei yang turut terkandas di negara tersebut.
Pada masa sama, kerajaan Malaysia turut membantu usaha kerajaan Brunei bagi membawa pulang kira-kira 134 rakyatnya yang terkandas di Malaysia.
"Mereka telah dibawa pulang melalui pesawat Malaysia Airlines yang berlepas ke Lapangan Terbang Bandar Seri Begawan pada hari ini, 29 Mac 2020 jam 5:15 pagi tadi.
"Pesawat yang sama kemudiannya membawa 84 rakyat Malaysia yang baru tiba dari Mesir dan 25 rakyat Malaysia yang terkandas di Brunei untuk pulang ke Malaysia dan mereka telah selamat tiba di Kuala Lumpur pada jam 12:11 tengahari tadi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kamaruddin juga berkata, beliau mewakili Yang di-Pertuan Agong, kerajaan dan rakyat Malaysia, merafak sembah menjunjung kasih kepada Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah atas perkenan kebenaran 84 rakyat Malaysia pulang menaiki pesawat yang dihantar oleh kerajaan Brunei itu.
Jelas beliau usaha ini tidak dapat tanpa kerjasama erat dua hala antara Malaysia dan Brunei Darussalam termasuk penglibatan beberapa pihak yang terlibat.
#Bandar Seri Begawan
#bawa pulang
#Brunei Darussalam
#COVID-19
#Kaherah
#kerjasama
#Kuala Lumpur
#Malaysia
#Malaysia Airlines
#Mesir
#terkandas