COVID-19: Malaysia belum sedia beralih penuh ke fasa endemik - JKPKKSI

Harits Asyraf Hasnan
November 1, 2021 16:28 MYT
Pengerusinya, Dr Kelvin Yii Lee Wuen berkata peralihan itu juga tidak sesuai dilaksanakan sebelum syor dan rekomendasi yang dikemukakan jawatankuasa itu diimplementasikan secara berkesan. - Foto Facebook/KelvinYii
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi (JKPKKSI) mendapati bahawa Malaysia belum bersedia untuk transisi secara penuh ke fasa endemik COVID-19 sepenuhnya buat masa ini.
Pengerusinya, Dr Kelvin Yii Lee Wuen berkata peralihan itu juga tidak sesuai dilaksanakan sebelum syor dan rekomendasi yang dikemukakan jawatankuasa itu diimplementasikan secara berkesan.
Justeru, pihaknya mengemukakan 10 syor yang perlu diberi keutamaan kerajaan antaranya memperuntukkan lebih kurang empat peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara untuk kesihatan bagi belanjawan yang akan datang.
"Kerajaan perlu memperhalusi dan menambahbaik strategi pengurusan pandemik COVID-19 berdasarkan sains dan data termasuk memperhalusi operasi standard (SOP) supaya lebih jelas, spesifik dan teratur dan memupuk pembudayaan norma baharu untuk semua yang tinggal di negara kita.
"Pengurusan COVID-19 ke arah endemik wajar melibatkan semua pihak termasuk pakar-pakar dari sektor swasta, akademia, NGO dan semua pemegang taruh yang berkaitan selari dengan konsep 'Keluarga Malaysia'.
"Menitik berat kesihatan di dalam setiap pembangunan dasar-dasar dan keputusan kerajaan di semua kementerian dan agensi-agensi kerajaan (Whole-of-Nation and Whole-of-Government approach)," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Bandar Kuching itu berkata antara syor lain yang dikemukakan adalah untuk meningkatkan kapasiti dan memperkukuhkan kesihatan awam negara berdasarkan pendekatan penjagaan bersepadu melalui digitalisasi Find-Test-Trace-Isolate-Support (FTTIS) dan MySejahtera.
"Menambah baik fungsi aplikasi MySejahtera melalui integrasi teknologi supaya aplikasi ini dilengkapi dengan fungsi-fungsi yang diperlukan terutamanya untuk pengesanan kontak rapat dan notifikasi untuk kekal relevan dan sebagai persediaan di masa hadapan untuk pengawalan yang lebih efektif jika berlaku wabak.
"Penambahbaikkan ini perlu melalui penyelidikan dan kajian perbandingan yang berterusan.
"Ketelusan dan sumber terbuka yang lebih baik untuk data granular COVID-19 bagi setiap daerah atau mukim.
"Ini termasuk juga kerjasama yang lebih baik dengan kerajaan negeri dan pihak berkepentingan dan memperkasakan mereka untuk membuat keputusan dalam pengurusan COVID-19 di tempat mereka sendiri berdasarkan pengetahuan setempat yang lebih mendalam," katanya.
Laporan penuh JKPKKSI boleh dimuat turun di laman web rasmi Parlimen Malaysia.
#COVID-19 #fasa endemik #Dr Kelvin Yii Lee Wuen #JKPKKSI
;