COVID-19: 'Makcik gelang pink' didenda RM8,000, dipenjara sehari

Aida Aziz
Ogos 14, 2020 11:31 MYT
Nur Emah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas kesalahan melanggar perintah pengawasan dan pemerhatian yang dikeluarkan di bawah Seksyen 15 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. - Astro AWANI
Seorang wanita warga emas dipenjara sehari dan didenda RM8,000 kerana ingkar perintah pengawasan dan pemerhatian ketika dalam tempoh kuarantin wajib.
Majistret Nabihah Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu selepas Nur Emah Mohamad Hashim, 72 tahun, membuat pengakuan bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Dia didakwa tidak mematuhi pengawasan dan pemerhatian mengikut Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dengan berada di Restoran Hanaz Cafe di Halaman Meru Permai Ipoh pada pukul 8 pagi 6 Julai lalu.
Mahkamah turut memerintahkan wanita yang hadir memakai jubah serba hitam itu menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda.
Tindakan tertuduh didapati melanggar arahan di bawah akta tersebut yang dikeluarkan Pegawai Diberi Kuasa Syarifudin Abu Bakar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada jam lebih kurang 5.30 petang 4 Julai lalu.
Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Subseksyen 22 (b) akta sama, yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 24 (a) akta sama, dengan hukuman penjara tidak lebih dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Jabatan Kesihatan Negeri Perak Ahmad Fakurazi Abu Bakar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
BACA: 'Makcik gelang pink' didakwa di mahkamah esok
BACA: COVID-19: Pemilik Restoran Nasi Kandar Salleh didenda RM12,000, dipenjara 5 bulan
Ahmad Fakurazi ketika prosiding meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kepada tertuduh.
Manakala dalam rayuannya, Nur Emah semasa prosiding berkenaan memohon agar mahkamah mengurangkan denda memandangkan ia adalah kesalahan pertama dilakukannya.
Selain itu, katanya, suaminya sudah meninggal dunia dan dia kini menanggung tiga anak, selain tahap kesihatannya yang tidak begitu baik.
Mengikut fakta kes, Jabatan Kesihatan Negeri Perak menerima aduan mengenai satu gambar viral di media sosial, seorang wanita Melayu memakai gelang perintah pengawasan di rumah, tidak berada di alamat yang diperintahkan dan didapati keluar makan di sebuah restoran di Meru Raya.
Susulan itu, siasatan dijalankan Pegawai Diberi kuasa dari Pejabat Kesihatan Daerah Kinta.
Hasil siasatan dijalankan mendapati tertuduh merupakan orang kena Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di bawah Seksyen 15, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bermula 4 sehingga 18 Julai.
Tertuduh telah berada di restoran itu pada 6 Julai lepas walaupun diperintahkan menjalani kuarantin di rumah selepas pulang dari United Kingdom pada 4 Julai lepas, bagi membendung penularan COVID-19.
#Ipoh #mahkamah #Mahkamah Majistret #makcik gelang pink #wanita #warga emas
;