COVID-19: Majlis Konvokesyen UUM ke-33 dibatalkan

Abdul Hadi Che Awang
Oktober 29, 2020 13:32 MYT
Pihak pengurusan UUM mengambil tindakan pengawalan dan pencegahan serta menekankan pelaksanaan SOP demi kesihatan dan keselamatan seluruh warga UUM dan masyarakat setempat. - Astro AWANI
SINTOK: Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) kali ke-33 yang sepatutnya berlangsung pada November kini dibatalkan.
Menurut Jabatan Hal Ehwal Akademik UUM, keputusan itu diambil selepas mengambil kira saranan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Ia juga bagi menjaga kesihatan serta keselamatan seluruh warga UUM, termasuk penuntut dan staf pengurusan, selain masyarakat setempat yang tinggal berhampiran kampus induk di Sintok itu.
"Adalah dimaklumkan bahawa pihak pengurusan UUM prihatin mengenai perkembangan terkini penularan wabak COVID-19 berdasarkan laporan semasa daripada MKN dan KKM.
"Penularan wabak COVID-19 ini diklasifikasi oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai pandemik.
"Oleh itu, pihak pengurusan UUM mengambil tindakan pengawalan dan pencegahan serta menekankan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) demi kesihatan dan keselamatan seluruh warga UUM dan masyarakat setempat," jelas jabatan itu dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, graduan UUM dinasihatkan melayari laman web rasmi Jabatan Hal Ehwal Akademik (HEA), UUM mulai 5 November ini bagi mendapatkan maklumat berkaitan kaedah memperoleh transkrip dan ijazah masing-masing.
#universiti utara malaysia #UUM #Majlis Konvokesyen #Jabatan Hal Ehwal Akademik #COVID-19 #Kementerian Kesihatan Malaysia #Majlis Keselamatan Negara #Kementerian Kesihatan #Pertubuhan Kesihatan Sedunia #kesihatan #KKM #SOP #WHO #keselamatan #pandemik #Malaysia
;