COVID-19: Majikan perlu sedia pelan tindakan kecemasan dengan segera - Pakar

Isabelle Leong
November 25, 2020 14:21 MYT
Dr Shamsul berkata kegusaran hilang sumber pendapatan menjadi punca pekerja tapak binaan dan kilang enggan tampil untuk membuat ujian. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Majikan perlu menyediakan pelan tindakan kecemasan di tempat kerja bagi menangani penularan wabak COVID-19.
Pakar Pengurusan Risiko Kesihatan Persekitaran & Pekerjaan, Prof Madya Shamsul Bahari Shamsudin berkata pelan tindakan tersebut perlu dilaksanakan dengan kadar segera dan perlu sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa.
Dalam pada itu, Shamsul juga mengesyorkan setiap majikan dan organisasi untuk melantik Pegawai Keselamatan dan Kesihatan di organisasi mereka.
“Majikan boleh dapatkan khidmat dan pandangan daripada pakar pengurusan risiko keselamatan pekerjaan untuk menyediakan pelan tindakan kecemasan COVID-19 khusus untuk tempat kerja mereka.
BACA: COVID-19: Pergerakan pekerja antara tapak bina jadi punca peningkatan kes
“Saya juga mengesyorkan setiap majikan atau setiap organisasi, tapak bina dan sebagainya untuk meletakkan Pegawai Keselamatan dan Kesihatan untuk bertugas di organisasi terlibat.
“Pegawai tersebut boleh memainkan peranan membantu dalam menyediakan aktiviti pengendalian pengenalpastian punca sumber jangkitan, melaksanakan analisasi dan penilaian pendedahan.
“Selain itu, pegawai itu boleh membuat penilaian terhadap risiko yang ada dan memberikan cadangan tentang kawalan COVID-19 spesifik untuk tempat kerja mereka,” katanya kepada Astro AWANI pada Rabu.
Sejak kebelakangan ini, jangkitan melibatkan kluster tempat kerja dan tapak pembinaan menjadi penyumbang utama kepada peningkatan kes dalam negara.
BACA: COVID-19: 2,188 kes baharu direkod, semuanya penularan tempatan
Kluster Teratai yang melibatkan pekerja kilang sarung tangan Top Glove menyumbang kepada 4,036 kes manakala Kluster Tapak Bina Damanlela yang terdiri daripada pekerja di tapak pembinaan mencatatkan 1,539 kes.
Dalam perkembangan lain, Shamsul berkata, kegusaran hilang sumber pendapatan menjadi punca pekerja tapak binaan dan kilang enggan tampil untuk membuat ujian.
“Majoriti mereka yang bekerja sebagai buruh di tapak binaan pada kebiasaannya dibayar ikut hari mereka bekerja.
“Mereka tahu, jika datang bekerja, mereka dibayar gaji. Sekiranya tidak datang bekerja, maka sebaliknya.
“Itu menjadi sebab mengapa pekerja enggan tampil ke pusat saringan biarpun sudah bergejala atau mengalami jangkitan COVID-19,” jelasnya.
#majikan #COVID-19 #Pelan Tindakan Kecemasan #Dr Shamsul Bahari Shamsudin #Pakar Pengurusan Risiko Kesihatan Persekitaran & Pekerjaan #Top Glove #bergejala
;