COVID-19: Majikan digesa latih graduan IPT ke pasaran kerja
Umavathi Ramayah
Mei 9, 2020 17:12 MYT
Mei 9, 2020 17:12 MYT
Majikan digesa untuk menyediakan sumber khas bagi melatih graduan institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai persediakan memasuki pasaran kerja selari dengan pengadaptasian budaya kerja normal baharu.
Pengerusi, Chartered Management Institute (CMI) Malaysia , Prof Datuk Seri Dr Md Zabid Abdul Rashid menjelaskan, ia bukan pendekatan baharu sebaliknya kerajaan pernah memperkenalkan program pendidikan eksekutif pada 1986 ketika negara berdepan dengan kemerosotan ekonomi.
"Situasi semasa ekonomi global ekoran wabak COVID-19 dilihat mencetus kebimbangan semua pihak terutamanya lepasan institusi pengajian tinggi yang masih belum melangkah ke pasaran kerja.
"Jadi saya berpendapat majikan perlu mempraktikkan semula pendekatan itu dengan melatih mereka dan pada akhir program majikan boleh mengambil mereka bekerja," katanya ketika ditemu ramah oleh Buletin AWANI di sini, pada Sabtu.
Md Zabid menjelaskan jangkitan COVID-19 yang mengubah demografi masa depan pekerjaan turut membawa kepada risiko peningkatan pengangguran dan kehilangan pekerjaan.
Ekoran itu katanya, pekerja dan majikan perlu sama-sama menerokai idea kerja baharu dan bertindak dengan bijak bagi menghadapi persekitaran kerja yang berubah.
"Landskap pekerjaan sekarang dilihat cukup berbeza sebelum dunia berdepan dengan COVID-19, lima bulan dahulu.
"Suka atau tidak, majikan dan pekerja perlu menerima hakikat ini dan perlu menyesuaikan diri dengan ekonomi berasaskan pendigitalan," ujarnya.