COVID-19: Majikan digesa hantar senarai nama pekerja bagi suntikan segera vaksin
Bernama
Ogos 29, 2021 06:32 MYT
Ogos 29, 2021 06:32 MYT
KOTA BHARU: Majikan di Kelantan terutamanya pemilik dan pengusaha kedai makan digesa mengambil pelbagai inisiatif bagi memastikan pekerja masing-masing yang masih belum divaksin, mendapat suntikan vaksin COVID-19 dengan segera.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Kelantan Dr Izani Husin berkata mereka boleh menghantar senarai nama pekerja itu secara terus kepada pihak yang menjalankan program vaksinasi secara outreach, atau kepada Jabatan Kesihatan Negeri sekiranya masih belum memperoleh tarikh janji temu melalui pendaftaran dalam aplikasi MySejahtera.
Beliau berkata tindakan itu penting memandangkan golongan itu mempunyai kontak dengan orang ramai, dan langkah menyegerakan suntikan adalah antara usaha kerajaan negeri membantu peniaga kedai makan meneruskan operasi perniagaan mereka, dengan membenarkan orang ramai yang divaksin makan di premis (dine-in).
"Kita akan tolong percepatkan vaksinasi, selain pihak kami juga mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil nama pekedai di kawasan masing-masing bagi pemberian suntikan vaksin COVID-19," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Program Outreach Vaksinasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang di Sekolah Menengah Arab (U) Istiqamah Badang di sini.
Sebelum ini media melaporkan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Kelantan menetapkan peniaga dan pekerja kedai makan perlu melengkapkan dua dos vaksin sebelum membuka kedai mereka untuk 'dine-in'.
Mengulas mengenai perkembangan kes COVID-19, Dr Izani berkata setakat ini seluruh kawasan dan komuniti di Kelantan berada dalam zon merah.
"Berdasarkan permerhatian saya apabila turun ke lapangan, masih ramai bersikap sambil lewa terhadap SOP selain ada yang berdegil tidak memakai pelitup muka di tempat awam.
"Selain itu, mengikut maklumat yang diperoleh daripada JKNK, varian Delta semakin banyak di Kelantan memandangkan dari segi jangkitan ia cepat merebak dalam tempoh yang singkat," katanya.
Bagi bekalan vaksin pula, Dr Izani berkata Kelantan dijangka menerima lebih 700,000 dos dari kerajaan Persekutuan September ini, namun pihaknya bersedia membuka pusat pemberian vaksin mega sekiranya bekalan vaksin COVID-19 yang sampai melebihi satu juta dos.
-- BERNAMA