COVID-19: Loji pengisian oksiden di PKRC MAEPS pastikan bekalan oksigen stabil

Bernama
Julai 29, 2021 08:57 MYT
Menurut Dr Shahabuddin, loji pengisian oksigen di PKRC MAEPS 2.0 itu adalah yang pertama dibina di luar kawasan hospital. - Gambar fail BERNAMA
SERDANG: Pekarangan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Bersepadu (PKRC) 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang kini menempatkan loji pengisian oksigen gred perubatan yang dapat memastikan bekalan oksigen untuk kegunaan pesakit COVID-19 sentiasa mencukupi dan diperoleh dengan segera.
Jika sebelum ini, tong oksigen yang kosong perlu dihantar dari PKRC MAEPS 2.0 ke Banting sebanyak tiga kali sehari untuk pengisian semula dengan perjalanan sehala mengambil masa lebih sejam, kini perjalanan untuk melakukan pengisian semula tidak sampai pun 10 minit.
Pengarah PKRC MAEPS 2.0 Dr Shahabuddin Ibrahim berkata loji pengisian oksigen yang mula beroperasi sejak Sabtu lepas itu mempunyai kemampuan mengisi sehingga 600 tangki oksigen bersaiz 6.8 liter sehari bagi memastikan bekalan oksigen sentiasa konsisten dan mencukupi untuk pesakit COVID-19 di fasiliti berkenaan.
"Silinder oksigen ini diperlukan dalam keadaan yang cepat," katanya kepada Bernama baru-baru ini, serta menambah pada setiap hari, kira-kira 2,000 tong oksigen digunakan di PKRC MAEPS 2.0.
Dr Shahabuddin berkata loji pengisian oksigen itu turut membantu pengisian semula tangki oksigen bagi fasiliti kesihatan di sekitar Lembah Klang yang memerlukan bekalan dalam kadar segera.
Menurut Dr Shahabuddin, loji pengisian oksigen di PKRC MAEPS 2.0 itu adalah yang pertama dibina di luar kawasan hospital memandangkan kawasannya yang luas serta lokasinya yang strategik untuk membantu menampung peningkatan penggunaan oksigen di hospital di sekitar Lembah Klang.
Beliau berkata pengoperasian loji itu akan dipantau pasukan keselamatan demi keselamatan loji untuk mengelakkan kebakaran, serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi memastikan 'high-purity oxygen' yang selamat digunakan manusia.
-- BERNAMA
#COVID-19 #Shahabuddin Ibrahim #PKRC #Maeps #Serdang #loji pengisian oksigen #oksigen #bekalan oksigen #tong oksigen #PKRC MAEPS 2 0 #keselamatan #SOP #Malaysia #high-purity oxygen #Hospital #perjalanan #Banting #pengisian semula
;