COVID-19: 'Lockdown' pilihan terakhir - Dr Farhan Rusli

Astro Awani
Mei 19, 2021 06:37 MYT
DR FARHAN: Kita tak boleh suruh saja rakyat duduk di rumah, rakyat mesti akan marah. Kamu suruh kami duduk di rumah, tapi apa yang sedang kamu laksanakan di luar? - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sekali pun jumlah kes jangkitan semakin membimbangkan, sekatan penuh atau 'lockdown' hanya akan menjadi pilihan terakhir.
Ini kerana, jelas pakar perubatan kesihatan awam Dr Farhan Rusli, negara tidak lagi mampu untuk menanggung kerugian sektor ekonomi yang akan lebih memburukkan keadaan.
Kata Dr Farhan, jika dilihat implikasi perintah kawalan pergerakan (PKP) 1.0 dahulu, walaupun ia berkesan dalam meratakan lengkungan, negara mengalami kerugian sekitar RM2.6 bilion sehari.
Maka apa yang dilaksanakan hari ini adalah untuk mengimbangi keperluan menyekat penularan virus COVID-19 di samping memastikan aktiviti ekonomi tidak merosot.
"Apabila kita nak melaksanakan PKP, apa yang harus difahami adalah ia melibatkan banyak sektor dan juga faktor sebelum boleh dilaksanakan.
"Banyak orang tanya kenapa kerajaan tidak laksanakan PKP macam PKP 1.0. Ini kerana PKP 1.0 kita dapat lihat merugikan ekonomi negara RM2.6 bilion sehari, dan kita mungkin tak dapat ambil risiko untuk lalui benda yang sama.
"Sebab itu bila kita laksanakan PKP 3.0 dan 4.0, kita cuba mengimbangkannya.
"Jadi apa yang perlu kita ingat, jika perlu, PKP seperti PKP 1.0 kena dilaksanakan, tapi ini adalah langkah terakhir sekali yang boleh diambil kerajaan.
Menurutnya, kerajaan bagaimanapun perlu hadir dengan perancangan teliti jika terpaksa mengambil langkah tersebut.
"Apa yang kita harus fahami ialah jika kita ambil langkah itu, kita harus ingat dan tahu apakah perancangan kerajaan pada hari pertama, ketiga, kelima, ketujuh.
"Kita tak boleh suruh saja rakyat duduk di rumah, rakyat mesti akan marah. Kamu suruh kami duduk di rumah, tapi apa yang sedang kamu laksanakan di luar?
"Jadi saya rasa perancangan dan perincian yang penuh kepada rakyat tentang apa yang akan dilaksanakan, apa perancangan yang akan dilakukan untuk tempoh dua hingga empat minggu itu harus diberikan supaya rakyat memahami kenapa mereka harus bertanggungjjawab untuk beri kerjasama kepada PKP tersebut," kata Dr Farhan.
Pada masa sama, Dr Farhan menyeru supaya semua pihak berhenti menuding jari terhadap mana-mana pihak berikutan keadaan semasa pandemik dalam negara.
BACA: COVID-19: Berhenti salahkan sesiapa, ini tanggungjawab kita semua - Dr Farhan
#Farhan Rusli #lockdown #pakar perubatan #kesihatan awam #PKP #perintah kawalan pergerakan #pandemik #COVID-19 #negara kerugian
;